PANDOSOFT iaitu sebuah platform penstriman langsung dalam talian yang dibangunkan Pandosoft Sdn. Bhd. berhasrat merevolusikan teknologi dengan mewujudkan ekosistem lengkap dalam industri penstriman.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pandosoft, V. Navaratnam, Pandosoft merupakan sebuah platform yang menggunakan blockchain bagi membolehkan penyertaan langsung dalam rangkaian untuk pengguna, pencipta kandungan dan penyedia infrastruktur.
Beliau berkata, syarikat tersebut membenarkan sesiapa sahaja menjadi penyiar, menjalankan penstriman, memberi transkoder, menyimpan data, berkongsi jalur lr rangkaian atau mengakses kandungan tersedia dengan cara berpusat daripada bergantung kepada perkhidmatan disediakan pemain industri yang dominan.
Katanya, platform tersebut menyaksikan individu yang mempunyai komputer bertindak sebagai ‘Rametron’ dengan hanya memberikan jalur lebar tidak digunakan untuk membolehkan orang ramai melayari penstriman dalam aplikasi tersebut.
Pada masa sama, beliau memberitahu, semua Rametron juga akan menerima insentif hasil pendapatan syarikat.
“Pandosoft mempunyai sistem penstriman multi-modal yang unik di mana pencipta kandungan dan pengguna dapat diberi insentif untuk penyertaan mereka dalam ekosistem.
“Penting untuk diperhatikan bahawa rangkaian Pandosoft dipercayai dan dijamin menggunakan teknologi blockchain untuk memastikan kredibiliti aktiviti transaksi dalam sistem.
“Interaksi dua hala antara pemain strim dan pengguna juga adalah langsung serta telus kerana semua aktiviti transaksi direkodkan pada blockchain awam yang tidak berubah,” katanya dalam sidang akhbar Pandosoft secara maya hari ini.
Mengulas lanjut, Navaratnam berkata, Pandosoft telah berkembang menjadi syarikat global apabila mengembangkan sayap ke Indonesia, Thailand, Brunei, Korea Selatan, Filipina, Nigeria dan Amerika Syarikat.
Beliau memberitahu, lebih banyak negara akan menyertai Pandosoft dalam usaha syarikat tersebut menuju sasaran satu juta Rametron.
“Kami menyasarkan untuk melancarkan platform ini selepas jaring ujian siap dan beroperasi bulan hadapan dengan harapan supaya orang ramai mempunyai akses memberikan pandangan berguna mengenai pengalaman keseluruhan mereka.
“Ini untuk memastikan persekitaran terbaik bagi pengguna dan pencipta kandungan semasa mereka mengguna dan membuat kandungan dalam salah satu daripada empat aplikasi kami iaitu Pandojo, TutorX, Show.Us dan Pandogo,” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

