PELAKON kelahiran Malaysia yang melebarkan sayapnya di Indonesia, Miller Khan kini bergelar tunangan kepada pereka fesyen, Farina Rebecca semalam.
Miller atau nama lengkapnya Mohammad Suhaimi Ali Dad Khan yang juga merupakan abang kepada pelakon Isa Khan itu khabarnya akan melangsungkan perkahwinan pada tahun ini selepas lapan bulan mengenali Farina,30.
Bagi mengabadikan momen indah dalam hidupnya, pelakon berusia 33 tahun itu telah melamar kekasihnya di udara dengan menaiki helikopter sekitar paras ketinggian 1000 kaki.
“Acara pertunangan telah berlangsung secara kebetulan semalam dan hari ini adik saya dan Risteena pula bernikah.
“Mudah juga nanti nak ingat tarikh pertunangan saya dengan hari pernikahan Isa nanti.
“Insya-Allah saya akan melangsungkan perkahwinan pada tahun ini.
“Dia (tunang) seorang yang pandai ambil hati saya dan paling penting dia menyayangi saya,” katanya.
Miller sudah menetap di Indonesia sejak 14 tahun lalu dan aktif menceburi bidang lakonan dan peragaan di negara seberang itu.
Majlis pertunangan yang berlangsung di sebuah hotel mewah di Jakarta, Indonesia itu hanya dihadiri keluarga dan teman rapat pasangan ini.
Sementara itu, Miller turut mendoakan kebahagiaan Isa dan Risteena yang meraikan hari bahagia mereka hari ini.

