pecah cermin
VIDEO tular lelaki berang pecahkan cermin kereta sebuah kenderaan di Muar, semalam. Gambar Internet

MEMANDU kenderaan memerlukan kesabaran tinggi. Memang terdapat pelbagai jenis pemandu kereta dan penunggang motosikal di jalan yang sering memandu tidak mengikut undang-undang.

Akibatnya, akan menimbulkan kemarahan dan jika tidak sabar akan berlaku kemalangan atau pertengkaran.

Peristiwa yang sama berlaku semalam apabila tular satu video seorang lelaki penunggang motosikal ‘mengamuk’ di jalan apabila memecahkan cermin kereta seorang wanita akibat tidak berpuas hati dengan pemandu kereta tersebut.

Lelaki yang bertindak agresif, termasuk memecahkan cermin hadapan kereta dengan menggunakan topi keledar di Pekan Parit Jawa, Muar itu bagaimanapun berjaya ditahan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip, berkata kejadian itu berlaku berhampiran sebuah persimpangan lampu isyarat, kira-kira jam 3.20 petang.

Beliau berkata, insiden dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara lelaki berusia 25 tahun itu dengan pemandu wanita berumur 26 tahun.

BERITA BERKAITAN Pasangan kekasih ‘melarikan polis’ di atas MPV didakwa

“Punca kejadian dipercayai berkaitan cara pemanduan kenderaan masing-masing yang menyebabkan suspek didakwa bertindak agresif dengan memecahkan cermin hadapan kereta wanita itu.

“Suspek juga didakwa memecahkan cermin sisi di bahagian pemandu dan merosakkan bonet hadapan kereta mangsa dengan menggunakan topi keledarnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Selepas ditahan, Zaharudin berkata, suspek dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini, kerana dipercayai mengalami masalah mental dan masih menerima rawatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Susulan itu, beliau berkata, polis menasihati orang ramai supaya tidak sewenang-wenang memuat naik gambar, video dan kenyataan dalam laman sosial sehingga tular yang boleh menimbulkan salah faham serta kegusaran masyarakat.

Sejak semalam, video berdurasi 1 minit 38 saat tular dalam media sosial yang menunjukkan seorang lelaki berang sehingga memecahkan cermin dan merosakkan bahagian depan kereta dipandu seorang wanita di Pekan Parit Jawa kerana tidak berpuas hati dengan cara pemanduan wanita tersebut.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram