BARU-BARU ini, selepas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador memberi amaran akan mengambil tindakan keras terhadap anggota dan pegawainya yang hanya ‘melambai tangan’ ketika melakukan sekatan jalan raya (SJR) kerana ingin mengawal penularan kes COVID-19 merentasi negeri.
Bagaimanapun, kita tahu arahan pemimpin tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu menyebabkan kesesakan teruk di jalan raya seluruh negara keesokan harinya.
Manakan tidak, jika setiap kenderaan yang melalui SJR diperiksa dengan teliti surat kebenaran rentas daerah/negeri mereka, sudah tentu jalan raya akan kesesakan teruk akan berlaku dan akhirnya menyebabkan ramai pekerja lambat ke tempat kerja.

Keadaan itu berubah beberapa hari lepas apabila tiada lagi SJR ketat diadakan dan orang ramai kembali ke tempat kerja seperti biasa. Terima kasih KPN, mungkin beliau telah menarik balik arahan pemeriksaan ketat setiap kenderaan itu.
Hari ini, Abdul Hamid membuat arahan baru pula. Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperketatkan SJR hanya pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad pula untuk mengelakkan pergerakan rentas negeri dalam kalangan orang ramai.
BERITA BERKAITAN Polis pandang serius dakwaan anggota minta wanita tunjukkan coli ketika sekatan jalan raya
Abdul Hamid berkata ini berikutan PDRM mendapati setiap petang Jumaat hingga Ahad ramai orang mula melakukan perjalanan rentas negeri dengan pelbagai alasan, terutama untuk keluar dari Selangor dan Lembah Klang.
“Hanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tertentu sahaja membenarkan (rentas negeri) dengan permit atas alasan seperti suami isteri yang berjauhan, hantar anak balik asrama dan sebagainya tetapi kita tengok setiap Jumaat trafik meningkat takkan kecemasan hanya berlaku pada hari Jumaat?
“Oleh itu, saya ambil langkah untuk memperketatkan SJR kerana Selangor masih diisytiharkan sebagai negeri di bawah PKP Bersyarat dan akan melonggarkan SJR sekiranya Selangor bertukar status kepada PKP Pemulihan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata sekatan jalan raya di Selangor hanya dilonggarkan untuk jalan-jalan di dalam bandar sahaja.
“Saya amat memahami kesusahan yang mereka (rakyat) alami dan saya amat bersimpati tetapi mereka perlu ambil pedoman bahawa apa yang polis lakukan adalah untuk kebaikan mereka.
“Kepada mereka yang curi-curi keluar menggunakan alasan remeh walaupun dibenarkan atas budi bicara polis, usahlah buat pergerakan…hari demi hari pihak Kementerian Kesihatan (KKM) beri amaran bahawa kluster ‘interstate’ (rentas negeri) di Kelantan dan Johor yang dari Selangor,” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

