SEMALAM Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar kerajaan menangguhkan suntikan dos kedua vaksin Pfizer kepada mereka yang telah menerima dos pertama kerana dengan kaedah itu lebih ramai rakyat Malaysia boleh mendapat vaksin.
Anwar berpendapat, mengikut ‘kajiannya’, disebabkan dos pertama vaksin itu mampu memberikan keberkesanan sehingga melebihi 90 peratus, maka penerimanya seharusnya boleh menunggu untuk mendapat suntikan kedua.
“Rakyat Malaysia tidak harus dibiarkan menunggu berbulan-bulan untuk mendapatkan dos pertama, sedangkan ada individu lain sudah dalam giliran untuk mendapatkan suntikan kedua,” katanya.
Bagi menjawab persoalan tersebut, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham mengeluarkan kenyataan akhbar hari ini yang antara lain menyatakan vaksin jenis Comirnaty keluaran Pfizer itu perlu diberikan dua dos dalam tempoh tertentu jika ingin mendapat keberkesanan terbaik.
“Adalah penting untuk diberi perhatian bahawa peningkatan ketara antibodi yang berkebolehan memberi keberkesanan jangka panjang seseorang adalah selepas dos kedua. Kelewatan mendapatkan dos kedua mungkin akan melambatkan penghasilan antibodi yang optimum,” katanya dalam kenyataan itu.
BERITA BERKAITAN Jumlah terima vaksin Covid-19 hampiri 350,000
Berikut ialah kenyataan penuh mengenai keperluan pengambilan dua dos vaksin Comirnaty yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan:-
“KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum akan isu yang ditimbulkan berkaitan keperluan pengambilan dua dos vaksin COVID-19 jenama COMIRNATY Concentrate for Dispersion for Injection (MAL21016022AZ) keluaran Pfizer-BioNTech.
Kenyataan ini dikeluarkan untuk memberi penjelasan berkenaan pemberian dua dos vaksin COMIRNATY tersebut.
Tahap keberkesanan vaksin COMIRNATY dilaporkan sebagai 94.6% (N= 36,621) dalam mencegah jangkitan SARS CoV2 bergejala, berdasarkan kajian klinikal fasa tiga yang melibatkan suntikan dua dos dengan selang masa 21 hari (selang masa dibenarkan adalah sehingga 42 hari).
Walau bagaimanapun, Strategic Advisory Group of Experts on Immunization (SAGE) daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan agar dos kedua diberikan selepas 21-28 hari daripada dos pertama.
Berdasarkan pemerhatian dalam kajian klinikal tersebut, keberkesanan vaksin COMIRNATY telah ditunjukkan bermula dari hari ke-12 selepas pemberian dos pertama dan mencapai kira-kira 89% keberkesanan di antara hari ke-14 dan 21, iaitu pada masa dos kedua akan diberikan.
Pada masa ini, keberkesanan jangka panjang untuk pemberian satu (1) dos vaksin COMIRNATY tidak diketahui kerana penerima vaksin dalam kajian klinikal tersebut menerima dua (2) dos dengan selang masa antara 19 hingga 42 hari.
Adalah penting untuk diberi perhatian bahawa peningkatan ketara antibodi yang berkebolehan memberi keberkesanan jangka panjang seseorang adalah selepas dos kedua. Kelewatan mendapatkan dos kedua mungkin akan melambatkan penghasilan antibodi yang optimum.
Kementerian Kesihatan sentiasa menjalankan pemantauan secara berterusan terhadap vaksin yang digunakan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan pharmacovigilance bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin tersebut sentiasa terjamin.”
Sekian, terima kasih.
“LINDUNGI DIRI, LINDUNGI SEMUA”
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

