PADA ZAMAN mudanya, Seniwati Siput Sarawak menjadi idaman ramai kerana kecantikannya. Begitu juga dengan Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee. Begitu ramai wanita yang menginginkan cintanya.
Tapi tahukah anda, P. Ramlee pernah jatuh cinta kepada Siput Sarawak? Tetapi cinta beliau telah ditolak mentah-mentah, kerana Siput Sarawak lebih cintakan S. Roomai Noor. Bukan itu saja, malah…!
…
..

Chinta merupakan filem pertama Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Filem keluaran Runme Shaw pada 1948 itu diarahkan oleh Sutradara terkenal, B. S. Rajhans (Barved Singh Rajhans). Pelakon utamanya ialah Siput Sarawak dan S. Roomai Noor.
Pada zaman itu cerita hikayat, bangsawan dan kisah istana masih begitu kuat pengaruhnya dalam penghasilan filem. Begitulah halnya dengan filem Chinta, yang berlatarkan kisah kerajaan Inderapuri di Brunei Utara.
Cerita bermula apabila Raja Inderapuri (Raja Kanchi, S. Roomai Noor) bersama pembantunya, Vidush, ditimpa kecelakaan semasa dalam pelayaran, lalu terdampar di sebuah pulau. Raja Kanchi telah diselamatkan oleh Chinta (Siput Sarawak), anak angkat Datuk Penghulu (Gamban). Chinta adalah gadis paling jelita di pulau tersebut dan menjadi kegilaan ramai pemuda.
Raja Kanchi merahsiakan siapa dirinya yang sebenar. Dia menyamar diri sebagai Sanchi, seorang peniaga. `Sanchi’ dan Chinta kemudian saling jatuh hati, tetapi dihalang oleh seorang lelaki jahat bernama Putar.
Putar memfitnah kononnya Sanchi adalah penyamun yang ingin mengambil semua harta karun di pulau tersebut. Dia menghasut penduduk serta Datuk Penghulu Gamban supaya menghalau Sanchi.
Datuk Penghulu tidak mahu lekas terpengaruh, lantas `mencari kebenaran’ dengan cara mengadakan pertarungan antara Sanchi dan Putar. Berpencaklah mereka dan kesudahannya Sanchi berjaya menewaskan Putar. Peluang terhidang untuk membunuh Putar, namun Sanchi enggan. Ini menyebabkan Putar menyesali apa yang telah dilakukannya.


Cerita belum tamat : Selepas pertarungan itu Datuk Penghulu menceritakan keadaan sebenar diri Chinta yang mahu membalas dendam terhadap Raja Inderapuri yang memerintah sekarang. Ini disebabkan ayahanda raja itu telah memberontak dan merampas kerajaan Inderapuri hingga menyebabkan Gamban (Panglima yang setia) terpaksa melarikan diri dengan membawa Chinta (ketika itu masih kecil) bersamanya bagi mengelak daripada menjadi mangsa pembunuhan seperti yang terjadi kepada raja dan permaisuri kerajaan Inderapuri.
Kini, Datuk Penghulu merasakan sudah sampai masanya Chinta membalas dendam. Tetapi apabila Chinta memaklumkan tentang niatnya itu, Sanchi tidak setuju. Ini menyebabkan Chinta berasa jauh hati.
Apabila Sanchi kembali ke Inderapuri, Chinta dan Gamban menyusup masuk ke dalam istana melalui pintu rahsia, dan terus ke kamar tidur raja. Mereka hampir dapat membunuh raja Inderapuri, tetapi tertangkap. Raja Kanchi mengarahkan supaya Chinta dan Gamban dibebaskan.
`Sanchi’ kemudian kembali semula ke pulau dan berjanji kepada Chinta untuk membantunya membunuh Raja Inderapuri. Apabila sampai di istana, barulah `Sanchi’ mendedahkan rahsia dirinya yang sebenar. Raja Kanchi dan Chinta kemudian berkahwin dan memerintah dengan adil. Tamat.
Bagaimana dengan P. Ramlee? Apa watak beliau dalam filem itu?


Lelaki jahat bernama Putar itulah watak yang dimainkan oleh P. Ramlee. Si jahat yang badannya kurus melidi. Tidak banyak yang dapat diperkatakan kerana watak P. Ramlee itu hanyalah sampingan. Juga, tidak banyak adegan yang dilakonkannya kerana filem itu lebih menumpukan kepada Siput Sarawak dan S. Roomai Noor.
Diakui juga, sebagai pelakon baru yang kali pertama berdepan dengan kamera, lakonan P. Ramlee banyak kelemahan. Lakonannya kaku, penuturan dialognya tidak tersusun dan selalu tersekat-sekat.
Tapi tidak boleh dipersalahkan keseluruhannya kepada P. Ramlee kerana pada zaman itu sememangnya dialog pelakon tidak disusun dengan baik. Dialog juga lebih mirip kepada keindonesiaan serta bangsawan.
Walaupun lakonan beliau kaku dan banyak kelemahan, namun menariknya, dalam filem itu suara P. Ramlee telah digunakan sebagai `playback singer’ untuk S. Roomai Noor. Ini dilakukan kerana P. Ramlee sudah diketahui mempunyai bakat yang besar dalam bidang nyanyiannya. Sebelum berhijrah ke Singapura P. Ramlee sudah menyanyi dan bermain muzik dengan beberapa buah pancaragam serta menyertai pertandingan nyanyian di Pulau Oinang.
Akhbar Utusan Melayu pada 28 Oktober 1948, melalui pengulas filem yang hanya menggunakan nama Wakil Kita, berkata, `Kebolehan P. Ramlee patut dipuji.’ Walaupun lakonan P. Ramlee banyak kekurangan namun tidak dinafikan beliau mempunyai suara yang merdu.
Jika tidak kerana bakat nyanyian yang dimilikinya, tidak mungkin semua lagu yang dinyanyikan oleh S. Roomai Noor menggunakan suara P. Ramlee (kecuali lagu Mari Pancing Ikan yang P. Ramlee nyanyikan sendiri).
Lagu-lagu P. Ramlee yang dinyanyikannya dalam flem itu ialah Kumbang dan Rama-rama (bersama Nona Asiah), Selamat Berjumpa Lagi (bersama D. Harris) dan Mari Pancing Ikan (bersama D. Harris). Lagu tersebut dicipta oleh Zubir Said, muzik iringan pimpinan Alfonso Suliano.
Selain P. Ramlee, Chinta juga merupakan filem pertama lakonan S. Roomai Noor dan Osman Gumanti. Osman memainkan watak sebagai penari istana. Chinta sebaliknya merupakan filem kedua Siput Sarawak selepas Singapura Di Waktu Malam yang telah melonjakkan nama beliau dalam dunia seni Tanah Melayu.
Melalui filem Chinta dapat dilihat kesungguhan dan minat yang mendalam P. Ramlee terhadap dunia seni. Di samping berlakon, P. Ramlee turut menjalankan tugas sebagai `clapstick boy’ termasuk menarik dan menolak kamera.
Ekoran bakat yang ditunjukkan dalam filem Chinta inilah P. Ramlee ditawarkan kontrak bekerja selama dua tahun dengan Malay Film Production (MFP). Ini merupakan satu lagi detik penting di dalam hidup P. Ramlee, yang kemudian membuka jalan kepadanya untuk menunjukkan bakatnya yang sebenar.
Chinta juga filem yang sangat bermakna dalam hidup S. Roomai Noor dan Siput Sarawak. Selepas flem ini mereka mendirikan rumahtangga.

Eh, di mana pula kejadian Siput Sarawak memanggil P. Ramlee sebagai Monyet?
Untuk pengetahuan anda, melalui filem Chinta inilah P. Ramlee mengucapkan dialog pertama dalam kariernya sebagai pelakon. Dialog pertama yang P. Ramlee ucapkan ialah, “Chinta!” yang ditujukannya kepada Siput Sarawak.
Setelah itu disusuli pula dengan, “Jangan lari terlalu lekas, nanti jatuh. Rosak mukamu yang cantik itu. Mengapa Chinta tidak mahu menyambut kedatangan kekasihmu?”
Siput Sarawak sambil menampar muka P. Ramlee, menjawab dengan kasar, “Ini kasi ajar pada kau, baru tahu, kau bercakap dengan siapa, monyet. Huh!”
—————————
NOTA : Kisah di atas dipetik daripada buku Filem-filem P. Ramlee, tulisan bersama Mustafar A. R dan Allahyarham Datuk Abdul Aziz Sattar, sahabat baik Allahyarham P. Ramlee. Anda yang berminat untuk mendapatkan buku ini – setebal 360 muka surat dan mendokumenkan pelbagai maklumat penting tentang 65 buah filem lakonan serta arahan P. Ramlee – boleh menghubungi penulis. Hanya ada beberapa naskhah sahaja. Esok, 22 Mac 2021, merupakan hari lahir Allahyarham P. Ramlee. Jika masih hidup, Seniman Agung itu kini berusia 91 tahun. Semoga rahnya berbahgia di sana bersama para solihin dan mukminin. Al-Fatihah. – ZULKARNAIN ZAKARIA, UTUSANTV.


