Berikutan kejayaan pameran ‘P.Ramlee dan Saloma : Aku, Dia dan Lagu’ sebelum ini, pusat beli belah Fahrenheit88 menganjurkan pameran khas ‘Warisan Sudir : Tribute Kepada Penghibur No.1 Asia’ sempena bulan kemerdekaan.
Pameran berkaitan penghibur legenda negara itu adalah anjuran bersama Arkib Negara dan Kamura Enterprise bermula 12 Ogos hingga 30 September, bertempat di tingkat dua pusat beli belah yang terletak di Bukit Bintang itu.
Pameran tersebut mempamerkan lebih 60 koleksi penghibur nombor satu Asia ini. Salah satunya adalah replika baju bendera Malaysia terpanjang yang pernah dipakai Allahyarham semasa membuat persembahan di majlis penutup Sukan Sea ke-15 pada 31 Ogos 1989 di Stadium Merdeka.
Turut dipamerkan koleksi pakaian yang pernah dipakai beliau semasa persembahan, topi, tanjak dan album.


“Saya ucapkan terima kasih kepada penganjur kerana menjayakan galeri ini. Ia satu platform di mana orang ramai boleh melihat koleksi barang-barang Allahyarham secara percuma,” ujar Razman Azrai Zainudin atau lebih dikenali sebagai Atai ketika ditemui semasa perasmian pameran ini semalam.
Menurut Atai yang merupakan anak saudara Allahyarham Sudirman, pameran ini turut menjual cenderahati keluaran Kamura di mana 12 peratus hasil jualan itu yang disumbangkan kepada keluarga Sudirman akan disalurkan kepada anak-anak yatim terpilih.
Pameran ini dirasmikan semalam oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang turut berkenan melihat koleksi peribadi penghibur ikonik itu.

Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad sememangnya seorang artis yang tinggi jiwa patriotisme dan ia dapat dilihat melalui persembahannya yang sering mengenakan persalinan bermotif bendera Malaysia.
Pameran ini diharap dapat mengimbau zaman kegemilangan Allahyarham di kalangan peminatnya dan generasi muda, disamping memupuk semangat patriotik dalam masyarakat.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram