SEORANG kanak-kanak perempuan di Arab Saudi maut selepas diserang sekumpulan lima ekor anjing liar dalam satu kejadian baru-baru ini.
Daily Mirror melaporkan, mangsa yang hanya dikenali sebagai Shahd, 4, meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di hospital.
Saksi mendakwa mendengar jeritan Shahd yang dipercayai sedang bercuti ketika haiwan itu menyerangnya dalam kejadian di pinggir Al Washaila, kira-kira 25 kilometer barat daya Riyadh pada petang 12 Mac lalu.
Penduduk yang melihat kejadian itu kemudiannya berjaya menghalau kawanan anjing berkenaan manakala Shahd dikejarkan ke hospital.

Bagaimanapun oleh kerana peraturan Covid-19, ahli keluarga Shahd hanya dibenarkan menunggu di luar hospital ketika doktor cuba menyelamatkan budak itu.
Bapa saudaranya, Abdullah Hazzam Al Abd Al Salam memberitahu media tempatan bahawa, anggota perubatan memberi jaminan keadaan anak saudaranya dalam keadaan stabil.
Namun beberapa jam kemudian, mereka disampaikan berita duka tentang pemergian Shahd.
“Kami bergegas menghantar anak saudara saya ke hospital berhampiran dan kami sampai ke hospital kira-kira pukul 5.30 petang.
“Kakitangan perubatan mengesahkan keadaan Shahd adalah stabil. Kami kekal menunggu di luar hospital berikutan langkah pencegahan Covid-19.
“Namun pada pukul 7.50 malam, kami dimaklumkan bahawa Shad telah meninggal dunia dan ia mengejutkan kami semua,” katanya.
Abdullah pada masa sama mendakwa, kawasan pinggir bandar itu sudah lama berdepan gangguan binatang liar dan pihak berkuasa tidak berbuat apa-apa mengenainya.
Dia menggesa pihak berkuasa mengurangkan populasi anjing liar di kawasan itu yang kerap dikunjungi ramai orang pada hujung minggu.
Sementara itu, jenazah Shahd dikebumikan Di Tanah Perkuburan Al Mansouriya pada 14 Mac.

