MAJLIS resepsi anak perempuan kepada Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah semalam mencetuskan tanda tanya netizen yang mendakwa Ketua Pengarah Kesihatan itu tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selepas dilihat bergambar beramai-ramai tanpa penjarakan fizikal.
Berdasarkan kepada gambar yang menjadi pertikaian itu, Dr Noor Hisham dilihat memakai baju Melayu biru muda bersama beberapa individu lain berada di atas pentas bersama pasangan pengantin dipercayai ahli keluarganya berdasarkan warna sedondon yang dipakai mereka.

Pertanyaan itu dibangkitkan akaun Twitter milik Zack Rockstar yang bertanya mengapa majlis itu tidak mematuhi SOP iaitu tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal.
Bagaimanapun, dalam ciapannya malam tadi, Dr Noor Hisham tampil menjelaskan keadaan sebenar.
“Ini semua ahli keluarga saya dan tiada orang luar. Hanya untuk bergambar seketika di atas pentas,” ciap Dr Noor Hisham.
Jawapan Dr Noor Hisham itu kemudiannya dibalas Zack Rockstar dengan ciapan:”Terima kasih @DGHisham.”
Ciapan Dr Noor Hisham itu setakat ini menerima tanda suka lebih 6,000 kali dan diulang kicau hampir 1,800 kali.
Majlis perkahwinan tersebut turut menyaksikan Fedtri Yahya hadir untuk mengacarakan majlis.
Beliau turut memperkatakan tentang resepsi pernikahan anakanda kepada Dr Noor Hisham dan Puan Sri Suwaida itu dalam akaun Twitter miliknya.
Fedtri dalam ciapannya memberitahu, hanya 30 peratus kapasiti dewan digunakan dengan SOP yang rapi.
Tambahnya, keadaan itu tidak menghalang majlis berlangsung tenang dan tertib.

