Skuad Harimau Malaya kembali disatukan untuk menjalani kem latihan pusat di Johor Bahru, Johor bermula 22 Mac hingga 30 Mac 2021.

SELEPAS 16 bulan ‘terpisah’ akibat penularan pandemik Covid-19, skuad Harimau Malaya akhirnya kembali disatukan untuk menjalani kem latihan pusat di Johor Bahru, Johor bermula hari ini hingga 30 Mac 2021.

Kem selama sembilan hari itu diadakan sebagai persiapan penting dalam mencari ‘tonik’ dan ramuan diperlukan bagi menghadapi baki tiga perlawanan terakhir Kumpulan G bagi Pusingan 2, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Emirates (UAE), Jun ini.

Hamidin Mohd Amin

Mengulas mengenai kem latihan pusat itu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, beliau berasa cukup lega dan gembira kerana skuad Harimau Malaya akhirnya dapat berkumpul untuk kem itu sebagai persiapan penting dalam menghadapi baki tiga perlawanan terakhir Kumpulan G.

“Saya berharap agar kem latihan pusat ini berjalan lancar seperti yang dirancang ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

“Ia bagi meningkatkan lagi persefahaman dan kombinasi para pemain serta meningkatkan tahap dan corak permainan pasukan untuk kita beroleh kejayaan apabila menentang UAE, Vietnam dan Thailand pada Jun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hamidin pada masa sama turut merakamkan penghargaan dan terima kasih FAM kepada Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) atas kesudian berkongsi kemudahan pusat latihan mereka dengan skuad Harimau Malaya bagi kem latihan pusat di Johor Bahru kali ini.

Menurutnya, beliau secara peribadi melihat ini sebagai satu lagi sumbangan JDT terhadap bola sepak Malaysia. 

“Setelah membantu meningkatkan profil bola sepak Malaysia melalui pembangunan dan penjenamaan bola sepaknya, kesudian pihak JDT ini akan membolehkan skuad Harimau Malaya memanfaatkan kemudahan bertaraf dunia.

“Diharap juga ia menjadi contoh kepada kelab-kelab bola sepak tempatan yang lain untuk sama-sama membangunkan pusat latihan mereka dengan kemudahan yang lengkap seperti ini kerana pada akhirnya nanti, sudah pasti ia akan membantu dalam meningkatkan prestasi pemain, sekali gus dapat memajukan lagi tahap bola sepak negara secara keseluruhan,” katanya.

Sebanyak 28 pemain dipanggil menyertai kem latihan pusat di Johor Bahru termasuk pemain naturalisasi baharu Malaysia, Guilherme De Paula.

Pasukan negara akan menentang UAE dalam aksi pertama pada 3 Jun, diikuti Vietnam pada 11 Jun dan menutup kempen dengan bertemu Thailand, 15 Jun.

Senarai 28 pemain yang dipanggil kali ini adalah terdiri daripada 11 pemain baharu iaitu dua penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United FC) dan Rahadiazli Rahalim (Terengganu FC); Rizal Ghazali (Kedah Darul Aman FC), Irfan Zakaria (Kuala Lumpur City FC), Fazly Mazlan (Sri Pahang FC), Faisal Halim (Terengganu FC), Nazmi Faiz Mansor (Johor Darul Ta’zim FC), Ramadhan Saifullah Usman (Johor Darul Ta’zim FC), Shahrel Fikri Md Fauzi (Selangor FC), Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk) dan pemain naturalisasi terbaharu negara, Guilherme de Paula (Perak FC).

Bagaimanapun, enam pemain lain tidak disenaraikan bagi kem latihan pusat kali ini membabitkan penjaga gol Haziq Nadzli, Dominic Tan, Syazwan Andik Ishak, Baddrol Bakhtiar, Azzizan Nordin serta Safawi Rasid.