“KAMI putus bukan sebab Zul Ariffin atau orang ketiga,” demikian ulas pelakon Intan Najuwa mengenai hubungannya dengan bekas tunang Razrul Anwar Rosli yang kembali menjadi perhatian.
Malah, nama aktor berbadan sasa, Zul itu turut terheret sama dalam plot cerita hubungannya dengan Razrul.
“Memang hubungan saya dan dia (bekas tunang) 100 peratus retak tanpa babitkan orang ketiga mahupun Zul. Kami putus tunang sejak pertengahan tahun lalu.
“Kasihan Zul dibabitkan sekali. Sedangkan dia tak tahu menahu. Kalau nak kecam, kecamlah saya bukan babitkan orang lain,” katanya.

Menurut Intan atau Intan Najuwa Abdul Wahid yang mula mendapat perhatian menerusi drama Kekasih Paksa Rela itu berkata, punca kehambaran hubungannya berlegar antara dia dan bekas tunang adalah kerana tiada lagi persefahaman.
“Sebelah dia (bekas tunang) pun perlu menjaga nama baik dan kerjayanya. Begitu juga saya.
“Kami cuba meneruskan hubungan dan memperbaiki kelemahan yang ada selepas pernah putus tunang sebelum ini. Tapi semua itu tak dapat diteruskan kerana tiada persefahaman lagi.
“Kami berpisah secara baik. Tak ada gaduh. Jodoh antara kami tak panjang. Saya juga mahu terus fokus dalam kerjaya seni,” ulasnya.
Dedah Intan,23, lagi, hubungannya dengan bekas tunang hanya pernah putus tunang sekali pada Februari tahun lalu.
“Saya harap penjelasan sudah tak ada ikatan ini akan meleraikan tanda tanya. Sampai ada yang ingat kami putus tunang dan sambung semula.
“Tak ada istilah kami putus tunang dua kali. Hubungan antara saya dan dia memang merumitkan.
” Biasalah adat bercinta, ada turun naik. Tapi tak perlulah saya kongsi terlalu mendalam,” jelasnya.
Bercerita lanjut tentang perkembangan seni pula, Intan kini sedang rancak meneruskan kerjaya lakonannya.
“Lakonan saya dalam Tak Sempurna Mencintaimu untuk slot Akasia TV3 terbitan Zeel Production juga akan mula disiarkan bermula 29 Mac ini.
“Drama arahan Emi Suffian itu turut membariskan pelakon seperti Redza Rosli, Fendy Bakry dan Azza Elite.
“Kini saya sedang melunaskan penggambaran drama untuk bulan Ramadan berjudul Mencantum Cinta bergandingan dengan Naqiu,” tuturnya.
Terdahulu, Zul ketika ditemui selepas tayangan perdana dan pratonton filem Penunggang Agama di Petaling Jaya turut menafikan yang dirinya menjadi orang ketiga dalam hubungan Intan dan Razrul.
Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi
TONTON VIDEO PILIHAN:

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

