Seringkali individu dimomokkan dengan budaya ‘keras’ di tempat kerja, pantang silap sedikit, terdengarlah hamburan caci maki sehingga ke tingkat atas. Katanya kalau nak berjaya kena cekal dan tahan maki. Jangan berhati tisu, dunia pekerjaan harus dihadapi dengan tabah.

Namun membudayakan amarah dalam kerjaya di pejabat bukanlah satu perkara positif yang harus dibanggakan. Lebih-lebih lagi andai marah itu bersifat emosi.

Perkongsian Fadzlan Rizan Johani ini cukup membuka mata bagaimana tekanan di tempat kerja membawa kepada sesuatu yang tidak dijangka.

TAHAN MAKI, HATI MATI

“Apa ni! Takkan itu pun tak tahu! Hang dah tua takkan itu pun nak aku ajaq! Hang pi betui balik semua! Buat malu aku saja ni! Sembahyang tak tinggai tapi buat kerja tak pandai!” Tengking seorang senior office pada seorang brader tua. Habis satu ofis terkejut makian tersebut berlaku di workstation dia di hadapan semua pekerja. Brader ni tunduk tak melawan.

(saya tak sampai hati nak cerita semua)

Brader ni sebenarnya power design. Saya pernah tengok hand-drawn perspective dia buat, saya dah tahu dia bukanlah belajar dulu cukup-cukup makan lulus. Tapi ada satu episod dalam hidupnya dia meninggalkan segala pekerjaan dunia dan bersama gerakan Tabligh berdakwah. Kemudian setelah sekian lama meninggalkan senibina dia masuk semula bekerja. Saya yakin sepanjang tempoh tersebut ada ilmu archi-nya yang sudah berkarat dan ada yang tidak updated.

Disebabkan dia dah umur senior, maka segala kerja dia dikehendaki manage sendiri. Dari design hingga ke site. Dia pernah minta saya ajarkan 3D juga untuk memudahkan kerja dia. Orang dah tak hargai lukisan tangan katanya.

Saya terhutang budi pada brader ni kerana dia yang menyakinkan saya untuk masuk semula bekerja mencari rezeki kerana Allah. Setiap waktu solat dia menjadi teman karib bersama ke surau untuk solat berjemaah. “Paklan jom pi solat!” Tegurnya setiap kali saya leka bekerja.

Selepas insiden kena maki tu saya selalu nampak brader ni stayback untuk siapkan kerja. Saya cuba bantu sedikit sebanyak tetapi brader ni enggan meminta banyak bantuan. Selang sebulan, brader ni berhenti tanpa memaklumkan pada saya. Tak ada ‘farewell’ atau belanja makan kepadanya. Pergi begitu saja. Sedangkan baru minggu lepas solat Jumaat bersama dan makan di tempat biasa.

Selang seminggu, saya dapat berita brader ni diserang stroke dan jatuh koma! Saya sempat pergi melawat brader ni yang terlantar di hospital. Mukanya tenang sahaja. “Bang! Macam mana boleh jadi macam ni bang? Kenapa bang tak bagitahu saya bang nak berhenti? Abang yang cakap kita buat kerja kerana Allah. Sekarang sapa nak teman saya pi surau?” Bisik saya ke telinganya mengadu sambil mengalir air mata.

Selesai berbicara saya menyembunyi air mata dan memberanikan diri bertanya khabar pada isterinya. “Macam mana boleh jadi lagu ni kak?”

“Doktor kata dia kena hypertension. Darah beku dalam otak berlaku dalam jangka masa lama. Dia ada mengadu masalah kerja. Akak rasa sebab dia stress sangat masa nak behenti. Dia banyak hari stayback cuba siapkan segala kerjanya sebelum resign. Dia tak nak menyusahkan orang kalau dia tinggalkan kerja.” Jawab isterinya dengan tenang.

Saya jadi sangat terkilan. Kerana tidak membantu dia (walaupun dia enggan menyusahkan orang lain) di saat diperlukan. Tiba-tiba teringat saya kembali peristiwa dia kena maki. Rasa geram pula yang suka maki tu.

Seminggu selepas koma brader ini dijemput kembali kepada Penciptanya. Pada hari perkebumiannya Allah kirimkan ramai teman-teman Tablighnya berjubah putih meraikan perjalanan dia pulang. “Selamat jalan bang. Cari saya nanti bila abang dah sampai di Syurga.” Tangis saya dikuburannya.

————————

Saya terpanggil berkongsikan kisah benar ini bila ada sahabat share berkenaan ‘tahan maki’. Bukan bertujuan mencari salah sesiapa atau mengaibkan mana-mana individu. Bagi saya ini suatu pengajaran bahawa ‘tahan maki’ ini bukanlah sesuatu yang harus dibanggakan atau sepatutnya menjadi syarat untuk berjaya. Ia sepatutnya menjadi satu aib yang sangat memalukan kerana ia mengambarkan betapa kita lemah menahan kemarahan.

Sebab itu saya lari dari orang yang suka maki bukan sebab saya tak tahan maki tetapi saya takut si maki tak tahan sakit pecah kepala bila saya hempuk dengan kerusi ataih kepala dia!

Janganlah dibanggakan sangat sikap panas baran ini dan kononnya kuat menahan maki. Sesungguhnya ia bukan sahaja mematikan hati malah menyebabkan kematian diri.

‘Marah’ is not professional, it is emotional.

FADZLAN RIZAN JOHANI

Nota tambahan:

1. ‘Brader’ ini merujuk kepada arwah rakan sekerja lama saya.

2. Penulisan ini tidak bermaksud kecaman terhadap penulis asal tweet yang saya blurkan. Tweet ini mungkin mempunyai konteks ayat yang lebih luas.

3. Ia bukan juga bertujuan mendedahkan aib mana-mana individu kerana cerita ini pun dah lama. Orang yang maki pun mungkin juga telah berubah.

4. Saya kongsi gambar tweet ini kerana ia dikongsi oleh seorang rakan kerja yang lain dan beliau membincangkan tentang marah vs maki.

5. Saya bersetuju dengan saranan ‘cekal’ dalam menghadapi kehidupan namun saya berbeza pendapat dengan menjadikan norma marah, maki dll tindakan bersifat negatif sebagai suatu kebiasaan.

6. Semua adalah penceritaan asal saya bukannya copy paste dari mana-mana sumber lain.

7. Untuk mengelakkan kekeliruan kaedah emosional dianggap sebagai professional maka saya sediakan jadual di link ini sebagai memudahkan pemahaman.

8. Saya kini berkerja sendiri. Berehat sementara dari bekerja di ofis kerana ingin menumpukan masa untuk keluarga. Saya masih meneruskan kerja-kerja design, graphic, 3d illustration, renovation, interior, art, mural dan landskap secara freelance.

Sumber : Fadzlan Rizan Johani