KETIKA sebahagian pemimpin UMNO lantang mendesak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan selepas darurat berakhir, hari ini seorang Menteri Kerajaan Perikatan Nasional (PN) daripada parti itu pula mendesak pemilihan parti diadakan segera.
Tanpa menyatakan bila, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, menyegerakan pemilihan parti merupakan satu-satunya cara untuk menyelesaikan kemelut dalaman UMNO.
Menerusi satu hantaran di media sosialnya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata, pemilihan UMNO tidak boleh ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya umum.
“Sepatutnya pemilihan diadakan tahun ini,” kata Khairy yang tewas kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam perebutan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti yang lalu.

Untuk rekod, BH Online pada 3 Februari tahun ini melaporkan Ahmad Zahid menyatakan semua jawatan UMNO akan dipertandingkan pada pemilihan parti tahun ini.
Kali terakhir UMNO mengadakan pemilihan adalah pada akhir Jun 2018 yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru bagi jawatan Presiden.
Jawatan Timbalan Presiden UMNO pula pertembungan satu lawan satu antara Datuk Seri Mohamad Hasan dan Tan Sri Annuar Musa.
Selepas pemilihan, Annuar dilantik Setiausaha Agung UMNO manakala Khairy dikhabarkan ketika itu menolak sebarang jawatan lantikan yang ditawarkan Ahmad Zahid kepadanya.
Baca artikel berkaitan: “Kalau anak jantan letak jawatan menteri” – Zahid cabar seorang menteri UMNO
Siapa janji PRU-15 tahun ini? ‘Mereka’ yang desak – Azmin
Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang berakhir Ahad lalu antara lain memutuskan supaya semua anggota pentadbiran UMNO yang berada dalam Kerajaan PN supaya meletak jawatan jika PRU-15 tidak diadakan selepas darurat.
Malah sebahagian mereka dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya bagi membincangkan perkembangan PAU 2020.
Dalam pada itu, Khairy menerusi hantaran tersebut sedar yang pemilihan parti sepatutnya diadakan pada tahun ini.
Katanya, UMNO mesti menghadapi PRU dengan kepimpinan yang mempunyai mandat yang jelas dan yang boleh mendapat sokongan rakyat.
“Segerakan pemilihan parti. Do the right thing, Majlis Tertinggi.
“You know we cannot continue like this,” kata Ahli Parlimen BN Rembau itu dalam bahasa Inggeris di Instagram beliau.
Dalam pada itu, penegasan Khairy mengundang pelbagai pandangan dalam kalangan ruangan komen di status beliau.
Ada komen yang ditinggalkan warganet menyokong gesaan beliau itu.
“Setuju 3000x, let’s do it, dalam PAU hari2 bukan main presiden @DrZahidHamidi cabar orang letak jawatan,” ujar pemilik akaun alHafi.
Malah tak kurang juga yang mempersoalkan keikhlasan kenyataan beliau itu, antaranya komen pemilik akaun Twitter HermyR
“Apa kena mengena dengan KJ suruh buat pemilihan parti yang memang sepatutnya berlangsung tahun ini?,”.
Bukan itu sahaja, ada yang mengaitkan pemilihan UMNO disegera seperti gesaan Khairy itu dengan kedudukan beliau.
“Agak dah..mesti tak nak letak jawatan….. akar umbi dah wat keputusan…
“PAU pun….. ehh tiba2 nak pilih presiden baru…,” kata pemilik akaun Twitter Cik Zura.
Tak kurang juga komen yang berbaur nakal: ‘KJ4 Presiden!!”.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

