Berkahwin dengan orang yang sudah mati? Kedengaran tidak masuk akal, tetapi itu antara undang-undang yang digubal di Perancis yang membenarkan rakyatnya berkahwin dengan orang yang sudah mati.

Memang ia undang-undang yang pelik tetapi perkara ini bukanlah baru malah telah wujud sejak Perang Dunia Pertama lagi. Pada zaman itu, mana-mana wanita yang kematian kekasih yang bertugas di medan perang tidak dihalang untuk berkahwin melalui proksi.

Pada tahun 1959, undang-undang tersebut diperkenalkan semula selepas kejadian empangan pecah di selatan Perancis yang mengorbankan 420 nyawa.

Charles de Gaulle.

Presiden Perancis ketika itu, Charles de Gaulle telah mencadangkan perundangan tersebut selepas menerima permohonan daripada seorang wanita mengandung yang kematian tunangnya dalam tragedi menyayat hati itu.

Namun hari ini, proses permohonan untuk bernikah dengan pasangan yang sudah mati tidak semudah dulu. Prosesnya rumit. Pasangan yang masih hidup dikehendaki mendapatkan kelulusan Presiden dan Menteri Kehakiman terlebih dahulu dan memberikan bukti kukuh bahawa si mati pernah menyatakan hasrat untuk mengahwini pasangannya semasa hayat beliau.

Sebagai contoh, Presiden Perancis terdahulu, Nicolas Sarkozy pernah meluluskan permohonan Karen Jumeaux untuk berkahwin dengan teman lelakinya yang sudah meninggal dunia. Wanita berusia 22 tahun itu telah dinikahkan dengan tunangnya, Anthony Maillot.

Karen dan Anthony bertemu pada tahun 2007. Tiga tahun kemudian, pasangan ini dikurniakan anak lelaki sebelum Anthony meninggal dalam kemalangan jalan raya. Karen nekad menulis surat kepada Sarkozy bagi meminta kebenaran berkahwin dengan tunangnya yang sudah meninggal dunia. Permohonannya itu kemudian diluluskan kerana beliau menyertakan bukti bahawa si mati pernah menyatakan hasrat untuk menikahinya.

Ujar Karen, kerana terlalu sayang dan cinta kekasih yang sudah meninggal dunia, tambahan pula mereka pernah merancang untuk membesarkan anak bersama-sama, wanita ini akhirnya nekad untuk bergelar isteri tanpa suami.

Sebelum itu, seorang warga Perancis turut dilaporkan berkahwin dengan tunangnya yang sudah mati. Magali Jazkiewicz dikahwinakn pada tahun 2009 di samping gambar tunangnya, Jonathan George yang telah meninggal dunia.

Magali berjaya mendapat kebenaran itu selepas menegaskan bahawa tunangnya pernah mengatur tarikh perkahwinan mereka di sebuah dewan, dua hari sebelum terbunuh dalam kecelakaan jalan raya. Selepas menanti lama, impian wanita ini berkahwin dengan mengenakan gaun pilihan Jonathan akhirnya tercapai.

Itu hanyalah sebahagian kecil kes seumpamanya dilaporkan. Ada beratus-ratus permohonan telah diterima dan diberi kelulusan oleh Presiden Perancis kepada mereka yang meminta izin untuk melakukan perkahwinan serupa.

Jika ditanya mengapa perkahwinan seumpama itu dibenarkan, Perancis mempunyai jawapan tersendiri. Pertama, kebenaran hanya diberikan kepada mereka yang sudah merancang berkahwin tetapi pasangan meninggal dunia sebelum sempat melangsungkan majlis persandingan.

Kedua, kerajaan mengambil kira atas alasan emosi. Selalunya, mereka yang kehilangan orang tersayang secara mengejut akan mengalami perasaan sedih dan murung berpanjangan. Justeru, bagi mengelakkan masalah lebih kronik timbul, pihak berwajib membenarkan perkahwinan seperti itu dilakukan.

Perkahwinan seperti ini juga dilaporkan berlaku di beberapa negara lain seperti Amerika, Jerman, Jepun, Korea Selatan, Thailand dan Afrika.

________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.