Detik hitam itu bermula pada tahun 2000, apabila abang sulung saya bercerai dengan isterinya. Setelah rumah tangganya runtuh, Abang Long mengalami tekanan perasaan. Isterinya langsung tidak membenarkan dia bertemu dengan dua orang anaknya.

Bermula dari situ, Abang Long mula mengambil dadah. Pada mulanya hanya untuk menghilangkan tekanan, namun akhirnya dadah telah menguasai dirinya. Hidup Abang Long tidak terurus dan akhirnya dibuang kerja. Apabila tidak mempunyai wang untuk membeli dadah, Abang Long mencuri barang-barang yang berada di dalam rumah.

Barang kemas ibu dan adik-adik, habis dicurinya. Tidak cukup dengan itu, dia juga menjual barangan elektrik di dalam rumah. Bermula dari situlah hidup kami sekeluarga sering berada di dalam ketakutan.

Abang Long panas baran. Apabila tidak dapat apa yang dihajati, dia akan mengamuk. Kami akan dipukul. Ibu juga diugut jika tidak memberikan wang kepadanya. Kami tiga beradik acap kali berpakat untuk melaporkan hal ini kepada pihak polis, namun ibu melarang. Kata ibu, biarlah habis harta di dalam rumah, asalkan Abang tidak mencuri harta orang lain.

Kami sebenarnya bimbang akan keselamatan kami. Duit kami pun bukanlah banyak. Saya hanya bekerja sebagai kerani, adik saya bekerja kilang dan seorang lagi masih menuntut di tingkatan lima. Beberapa tahun kami hidup dalam ketakutan. Dengar sahaja suara Abang Long, kami jadi takut. Bimbang sekiranya Abang Long mengamuk dan memukul.

Suatu malam semasa kami sedang makan, tiba-tiba terdengar deruman enjin motosikal Abang Long masuk ke kawasan rumah. Semuanya tergamam, tidak berani bersuara. Suasana di dalam rumah terus menjadi sunyi sepi.

“Ibu! Aku nak duit!” laung Abang Long, sebaik masuk ke dalam rumah.

“Mana ibu ada duit lagi, Man. Mari makan dulu,” kata ibu.

Mendengar sahaja kata-kata ibu, Abang Long terus naik gila. Dia segera masuk ke dalam bilik ibu dan menggeledah semua barang yang ada di situ.

“Aku nak duit! Itu pun susah ke nak bagi?” ngomel Abang Long sambil terus menggeledah.

Apabila tidak jumpa apa yang dicarinya, Abang Long menerpa ke arah ibu. Abang Long mencekik leher ibu sambil meminta wang. Melihat keadaan itu, kami adik-beradik segera menerpa ke arah Abang Long. Dia menolak kami. Muka ibu ditumbuk dua kali. Kami ditampar dan dipukul. Kami bertiga tidak mampu melawan kudrat Abang Long. 

“Polis! Polis! Tooloooong…!!!” jerit adik saya.

Apabila dengar kami menjerit, Abang Long terus melarikan diri. Ibu terkulai di lantai. Mukanya bengkak. Kami terus membawa ibu ke hospital. Setelah mendapat rawatan, pihak hospital meminta kami membuat laporan polis, tetapi ibu tetap enggan. Ibu mengatakan kepada pihak hospital, dia terjatuh, bukannya dipukul. Waktu itu saya sangat marah kepada ibu. Tetapi ibu tetap dengan pendiriannya.

Selepas kejadian itu, Abang Long tidak pulang ke rumah. Entah ke mana dia pergi, kami tidak tahu.   

Diburu Bayangan Misteri Semasa Nazak

Dua minggu setelah menghilangkan diri, suatu pagi ibu terjumpa Abang Long tergolek di tangga rumah. Mukanya sangat cengkung. Matanya terperosok ke dalam. Lingkaran matanya berwarna biru.

Kami segera membawa Abang Long ke hospital. Setelah menerima rawatan, doktor mengesahkan Abang Long mengalami radang paru-paru yang kronik.

Waktu itu perasaan saya sukar digambarkan. Kadang-kadang terasa gembira kerana tiada lagi ketakutan, namun sebagai adik ada kalanya terasa juga sedih apabila melihat Abang Long terlantar sakit.

Sepanjang Abang Long di hospital, hanya saya dan ibu sahaja yang menjaganya. Dua lagi adik saya, langsung tidak mahu menjenguk. Mungkin mereka masih marah dengan apa yang Abang Long lakukan selama ini.

Seingat saya, sebelum Abang Long terjebak dengan dadah, dia adalah seorang Abang yang baik dan penyayang. Dia juga suka melawak apabila berada di rumah. Apabila mendapat gaji, dia selalu membawa balik udang dan ketam. Memang itulah makanan kegemarannya. Tetapi semuanya berubah apabila Abang Long mula menagih dadah. Dia menjadi seorang pemarah dan suka memencilkan diri.

Satu malam, sewaktu saya sedang menjaga Abang Long, saya lihat matanya melilau ke kiri dan kanan. Dia juga seperti dalam keadaan ketakutan.

“Kenapa bang?” soal saya.

“Tu, ada ramai lelaki berkuda, pakai pakaian hitam, bawa lembing duduk tengok Abang. Mata dia merah,” kata Abang Long.

Saya pelik! Mana ada lelaki berpakaian hitam di situ. Tapi saya lihat Abang Long menggigil-gigil ketakutan. Habis selimutnya dibasahi peluh.

Keesokan harinya, saya menceritakan perkara itu kepada ibu. Tapi ibu hanya diam. Sepatutnya malam keesokannya giliran ibu menjaga Abang, tetapi kata ibu, dia sakit kepala. Ibu meminta saya sekali lagi menjaga Abang.

Malam itu, sewaktu saya sedang membaca buku, tiba-tiba sahaja Abang Long bertempik. Semua yang berada di dalam wad terkejut.

“Lelaki pakai pakaian hitam tu datang nak tikam Abang dengan lembing!” kata Abang Long.

Saya cuba menenangkan Abang Long. Kata saya tiada siapa yang mahu menikamnya. Semua itu hanyalah khayalan sahaja. Tetapi Abang Long terus menggigil ketakutan. 

“Irni, panggil ibu. Abang nak minta maaf dengan ibu. Panggil ibu… panggil ibu…” Abang Long merayu.

Saya terus keluar dari wad dan menelefon ibu. Waktu itu Abang Long mula meracau. Dia benar-benar berada dalam keadaan ketakutan. Saya meminta ibu datang segera ke hospital. Namun ibu tidak mahu. Walaupun didesak, ibu tetap tidak mahu.

Keadaan Abang Long semakin teruk. Disebabkan Abang Long meracau dan mengganggu pesakit yang lain, dia terpaksa diberikan suntikan untuk menenangkannya. Mulutnya juga tidak henti-henti memohon maaf kepada ibu.

Melihat semua itu, saya mula berasa hairan. Kenapa sehari dua ini ibu tidak mahu ke hospital? Biasanya dialah yang beria-ia mahu menjaga Abang Long. Tetapi semenjak sehari dua ini, ibu langsung tidak mahu menjenguk anaknya itu.

Keesokan harinya, saya meminta ibu supaya segera datang ke hospital. Pada mulanya ibu memberikan bermacam alasan, tetapi setelah saya mendesak, akhirnya ibu setuju. 

Waktu itu lebih kurang jam 1.00 tengah hari. Sebaik ibu melangkah masuk ke dalam wad, mata Abang Long terus memandang tetap ke wajahnya. Air mata Abang Long serta-merta mengalir laju.

“Ibu! Maaf kan Man, ibu. Maafkan Man,” kata Abang Long.

Ibu hanya diam. Dia seolah-olah tidak mendengar kata-kata Abang Long itu. Abang Long cuba menarik tangan ibu, tetapi ibu segera merentapnya.

“Ibu! Maafkan Man, ibu. Ada orang pakaian hitam tengah tunggu Man. Mukanya bengis ibu. Man takut,” kata Abang Long sambil menangis dan merayu-rayu.

Tetapi ibu masih mendiamkan diri. Waktu itu saya tidak dapat menahan air mata. Saya nampak wajah kekesalan di raut wajah Abang Long. Sambil memandang ibu, mata Abang Long tidak henti menjeling ke arah tingkap.

“Ibu, maafkanlah Abang, ibu. Kesian Abang, ibu,” saya cuba memujuk ibu.

Ibu masih lagi mendiamkan diri, tetapi saya lihat matanya mula berkaca. Selepas itu ibu hanya menganggukkan kepala tanpa keluar sepatah pun perkataan dari mulutnya.

Abang Long terus menerus memohon maaf daripada ibu. Perlahan-lahan Abang Long menarik tangan ibu lalu menciumnya.

“Ibu, maafkan Man, ya. Orang baju hitam tu dah panggil Man. Maafkan Man, ya,” kata Abang Long dengan air mata berlinangan.

“Ye Man! Ibu maafkan Man dunia akhirat,” balas ibu dengan suara yang sebak.

Ibu kemudiannya mencium dahi Abang Long yang sejak dari tadi lagi dibasahi dengan peluh. Abang Long tersenyum lebar. Dia memandang wajah ibu dengan satu pandangan yang lemah.

“Terima kasih ibu. Orang baju hitam tu dah pergi. Man nampak atuk baju putih melambai kat Man. Terima kasih ibu,” kata Abang Long sambil tersenyum memandang ibu.

Saya sebenarnya tidak faham dengan apa yang Abang Long katakan. Saya langsung tidak nampak sesiapa pun di situ. Di luar tingkap itu hanya kosong. Tiada sesiapa.

Ibu terus memegang tangan Abang Long dan Abang Long terus terlena dengan senyuman tidak lekang di bibirnya. Ibu mengambil surah Yasin lalu perlahan-lahan dibacanya.

Lebih kurang tiga jam selepas itu, tiba-tiba sahaja Abang Long terjaga. Dadanya berombak kencang. Matanya tidak lepas memandang ke arah ibu. Beberapa minit selepas itu, perlahan-lahan Abang Long menghembuskan nafasnya yang terakhir. Walaupun mukanya cengkung, tetapi nampak di bibirnya seolah-olah dia menguntumkan senyuman.

Waktu itulah baru saya sedar betapa besarnya kemaafan dan keredhaan seorang ibu. Walaupun sebelum ini banyak dosa yang Abang Long lakukan, namun setelah mendapat kemaafan dari seorang ibu, Abang Long pergi dengan wajah yang manis.

Saya berdoa semoga Abang Long akan ditempatkan bersama orang yang soleh. Biarpun segala apa yang Abang Long lakukan selama ini kepada kami masih lagi kami terasa, tetapi kami telah memaafkannya. Semoga Abang Long damai di sana.

————————

Diceritakan oleh: IRNI YUSNIRA ABDUL RAZAK.

Kisah menginsafkan ini dipetik daripada buku SAAT IZRAIL CABUT NYAWAMU, produksi majalah MASTIKA.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.