Zainol Fakir, mantan pengarang Mastika yang juga digelar ‘Bapa Mastika’ meninggal dunia

Dari Penulis

PADA suatu tengah hari sekitar tahun 1995, seorang lelaki berkulit hitam manis, berjalan berlenggang menuju ke arah mejanya. Lelaki itu bertugas sebagai Pengarang Meja Pendidikan di syarikat akhbar Utusan Melayu yang terletak di Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.

Sewaktu sedang melintasi sebuah bilik mesyuarat, lelaki berasal dari Kedah ini terdengar namanya dipanggil seseorang.

“Zainol sini kejap,” laung suara tadi.

Lelaki bermisai lebat ala pelakon Hollywood, Omar Shariff itu yang mesra disapa dengan panggilan ‘Zainol’ itu berpaling ke arah bilik tersebut. Sebaik menatap wajah suara yang memanggilnya, lelaki ini terkejut.

Suara itu rupanya datang dari Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Johan Jaaffar. Turut kelihatan di dalam bilik itu, Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan, Khalid Mohd, Ketua Bahagian Majalah, Chamil Wariya dan beberapa orang pengarang lagi. Kesemua orang-orang besar Utusan ini sedang bermesyuarat.

Perlahan-lahan, Zainol mendekati bosnya itu sambil semua mata di dalam bilik itu tertumpu kepadanya. Entah kenapa tiba-tiba sahaja namanya dipanggil masuk ke dalam bilik mesyuarat tersebut. Apa pula halnya?

“Zainol, kita ni sedang bincang nak tutup Mastika. Apa pandangan Zainol?” Datuk Johan bertanya pendapatnya.

Rupa-rupanya beliau dipanggil untuk memberi pandangan tentang Mastika. Baru juga beliau tahu agenda mesyuarat tengah hari itu ialah tentang urusan hidup dan mati majalah Mastika.

Pihak tertinggi syarikat Utusan Melayu sebulat suara mahu Mastika ‘dikebumikan’ saja kerana majalah itu sudah ‘nazak’ benar. Edaran bulanan Mastika ketika itu hanya tinggal sekitar enam ribu naskhah sahaja. Pulangan daripada jualan tidak mampu lagi menampung perbelanjaan kos percetakan.

Apabila mendengar keputusan itu, Zainol geleng kepala. Sedih benar rasanya. Secara peribadi, beliau yang pernah menjadi Pengarang Mastika sekitar tahun 1970-an selama setahun, memang tak bersetuju dengan cadangan tersebut.

“Pasai apa nak tutup? Mastika ni ada nama. Ini majalah tertua negara kita. Umur Mastika ni lagi lama daripada Utusan Malaysia. Sebut Mastika, orang tau Utusan punya. Buat apa nak tutup?” protes Zainol secara lembut dengan keputusan yang dibuat.

“Okey tak apa. Kalau macam tu Zainol jadi pengarang. Kita tak tutup. Boleh?” kata Datuk Johan memberi tawaran serta merta.

“Betoi ke ni?” tanya Zainol dengan mata terjegil seakan seakan-akan tak percaya dengan ayat yang terkeluar dari mulut Datuk Johan.

“Betul! Zainol nak berapa orang staf?” tanya Ketua Pengarang Utusan itu lagi.

“Kalau macam tu, saya nak lima orang,” jawab Zainol tanpa teragak-agak.

Sungguh Zainol tidak menyangka,  sekali lagi dia diberi amanah mengemudi Mastika yang hampir-hampir dikebumikan dengan alasan tidak lagi mampu mencatat jualan yang membawa keuntungan dan ketiadaan pembaca.

Tatkala mengemudi Mastika di era 70-an selama setahun, dia belum mampu lakukan apa-apa perubahan. Cuma kali kedua ini, tugas yang diamanahkan agak berat. Zainol perlu memberi ‘nafas baru’ kepada Mastika yang sedang nazak itu.

Walaupun agak sukar, namun tugas itu langsung tidak menggetarkan Zainol. Sebabnya, semasa diminta memimpin majalah ini, Datuk Johan memberi kebebasan kepada Zainol mencorakkan dasar Mastika seterusnya.

Lalu, Zainol teliti semula rekod-rekod Mastika. Sebelum ini, Mastika sudah melalui tiga zaman. Semasa di bawah pengarang pertama, Abdul Rahim Kajai, Mastika bercorak nasionalis yang berjuang untuk agama, bangsa dan negara. Ketika itu Mastika bertulisan jawi.

Kemudian, Mastika bertukar pula kepada majalah sastera, sebelum beralih kepada majalah politik. Dari tulisan Jawi diubah kepada rumi. Walaupun sudah melalui tiga zaman, jumlah pembaca Mastika masih tetap berkurangan.

Zainol yakin, hal ini mungkin disebabkan artikel yang disajikan merupakan bahan yang agak berat. Masyarakat kita tidak berminat membacanya.

Melalui penelitian tersebut, Zainol mendapat idea. Daripada menyajikan cerita-cerita berat, Mastika lalu ditukar kepada cerita ringan bercorak misteri dan human interest yang boleh memecah selera umum. Saiz Mastika juga dikecilkan dan diubah menyamai bentuk saiz  Reader Digest.

Atas asas cerita ringan inilah, Zainol mula menggerakkan Mastika melalui lima orang wartawan di bawahnya ketika itu, Munir Ghazali, Azizah Ismail, Helmi Ibrahim, Syed Jalaluddin Syed Annuar dan Wan Ramli Wan Muhammad.

“Cerita misteri ini pula Pak Non bahagikan kepada tiga. Misteri mitos, real misteri dan saintifik misteri,” ujar Zainol yang mesra membahasakan dirinya sebagai Pak Non ketika ditemui Mastika di rumahnya yang terletak di Subang Jaya.

Jelas Zainol, dia memilih misteri kerana misteri tidak berlaku dalam ruang lingkup manusia saja. Kejadian misteri berlaku kepada semua benda dan makhluk seperti binatang dan tumbuhan.

“Boleh habaq semua makhluk ada sifat misteri. Dia juga boleh mencetus selera umum. Dari peringkat bawah, sampai peringkat atas. Semua orang suka. Yang kedua, tabiat orang Melayu ni tak suka benda-benda yang susah. Tak suka benda-benda berat.

“Yang ketiga, misteri ini boleh jadi bahan untuk mereka bersembang atau bergosip. Selepas baca boleh bercerita. Mungkin ada antaranya ada kisah hampir sama,” ujar Zainol atau nama penuhnya Zainol Fakir.

Ternyata, apa yang dilakukan Zainol berhasil. Rombakan itu telah berjaya menyelamatkan nyawa Mastika sehingga edarannya terus melonjak dari enam ribu naskhah meningkat kepada 30 ribu naskhah sebulan selepas rombakan.  

Sungguh Zainol tidak menyangka, berdasarkan asas cerita misteri, Mastika yang suatu ketika sudah mahu dikapankan, bernafas semula dan hidup segar bugar.

Jualan Mastika pada Oktober 1996 meningkat mendadak kepada 25 ribu, seterusnya 35 ribu pada Oktober dan 40 ribu pada Disember. Pada bulan Januari 1997, Mastika terus meningkat hampir-hampir 50,000 naskhah sebulan.       

Seterusnya jualan Mastika terus meningkat setiap bulan dan dalam tempoh dua tahun jualannya dari 1995 sehingga 1997, sudah berjaya mencecah angka 100 ribu naskhah, suatu fenomena yang tidak pernah difikirkan sesiapa sebelum ini.

Mastika hidup kerana wartawan-wartawan hebat!

ZAINOL Fakir terfikir yang Mastika perlu ada seseorang yang lebih layak untuk memimpin legasi majalah ini seterusnya. Beliau sendiri akan pencen tak berapa lama lagi.

Hajat itu disampaikan kepada Datuk Johan Jaaffar dan beliau bersetuju menghantar Zulkarnain Zakaria dan diikuti pula oleh Sahidan Jaafar bertugas dengan Mastika. Zul berkhidmat di Mastika pada Julai 1996 dan Sahidan pula pada April 1997.

Kehadiran dua orang wartawan ini bagaikan satu rahmat besar bagi memperkukuh dan mencorakkan masa depan Mastika yang lebih gemilang. Zulkarnain dan Sahidan masing-masing ada kelebihan tersendiri.

Pada hemat Zainol, Zulkarnain seorang wartawan yang sangat komited dengan tugas dan pandai berdikari. Beliau tak perlu susah-susah arahkan Zulkarnain untuk keluar cari bahan berita. Kebiasaannya, Zulkarnain akan serahkan artikel-artikel menarik untuk disiarkan.

Sahidan pula, pada ingatan Zainol ialah seorang wartawan yang kreatif dan imaginatif. Arahkan sahaja dia untuk tulis kisah apa sekalipun, Sahidan boleh tulis hingga kisah yang biasa-biasa pun jadi menarik. Itulah kelebihan Sahidan yang memiliki bakat semula jadi sebagai pengarang.

“Kalau Munir pula, pun okey! Tapi Pak Non kena banyak edit. Munir ni banyak mengarut sikit! Kah! Kah! Kah!” cerita Zainol sambil ketawa mengingati kisah silam dan mengakui, adanya Munir membuatkan meja Mastika sentiasa ceria dengan kisah lawak yang tak kering gusi.

Zainol Fakir (kiri) bersama sidang redaksi Mastika pada tahun 1996.

Ketika itu Munir Ghazali terkenal dengan ruangan ‘Cerita Dari Timur’ yang diolah dari cerita rakyat, Zulkarnain melalui ruangan kisah Mekah, Mayat & Kubur dan Sakaratulmaut manakala Sahidan pada awalnya diarah Zainol menulis kisah human interest dan misteri tempatan.

Pernah disebabkan memiliki wartawan-wartawan yang hebat era berkenaan, Zainol sendiri naik pening kepala dibuatnya. Bukan sebab tak ada artikel untuk disiarkan sebaliknya Zainol ‘pening’ terpaksa memilih mana satu artikel terbaik untuk dijadikan cover Mastika. Semua cerita yang dihantar wartawan handalan ini menarik-menarik belaka.

Akibatnya Zainol termenung. Puas beliau nilai untuk pilih artikel mana yang paling terbaik untuk disiarkan.

Story Sahidan menarik, ‘terliuq’ orang nak baca. Cerita Zul pun meletup. Story Munir ada class. Story aku pun best! Mana nak letak cover ni?” bisik hati Zainol. Dahinya berkerut-kerut, susah betul hendak buat keputusan.

Di rumah, pada malamnya beliau lakukan solat istiqarah. Zainol minta Allah bantunya buat keputusan. Esoknya sebaik masuk pejabat, Zainol tersenyum. Beliau sudah tahu cerita siapa yang akan dijadikan lead cover bulan ini.

“Lepas puas ‘pikiaq’, Zainol buat keputusan. Sebagai pengarang, akhirnya Pak Non pilih story Pak Non untuk cover. Kah! Kah! Kah!” cerita Zainol sambil ketawa besar. Story lain yang menarik akan dijadikan sinopsis cerita menarik untuk bulan hadapan supaya pembaca tertunggu-tunggu hendak beli.

Zainol turut turun padang mencari story terbaik untuk Mastika.

Zainol tidak ingat lagi story apa yang dijadikan cover itu. Sebab banyak juga artikel beliau yang dijadikan cover ketika itu. Menariknya, setiap bulan Zainol juga terpaksa ‘bertarung’ dengan wartawan Mastika untuk mempertaruhkan story terbaiknya untuk dijadikan cover.

Kalau bulan ini artikel Zainol, bulan depan Zulkarnain dan seterusnya story Sahidan dijadikan cover.  Misalnya bulan Oktober 1997, Zainol pilih story Zulkarnain tentang kisah konflik keluarga perebutan anak antara Aishah dan Lepat dijadikan cover.

Bulan November 1997, Pak Non pilih story Sahidan tentang kisah bidan lelaki tunggal di Malaysia sambut kelahiran 500 bayi. Bulan Disember 1997, giliran story Zainol sendiri dengan kisah “200 Sumpitan Tumbangkan Seekor Harimau” dijadikan cover.

Keputusan itu bukan ‘syok sendiri’ sebaliknya setelah Pak Non berunding dan meminta pendapat Sahidan, Zulkarnain dan Munir Ghazali membaca draf awal artikel Zainol yang hendak dijadikan cover Mastika.

“Kadang-kadang saya suruh Sahidan baca di skrin. Saya beritahu Sahidan jangan edit apa-apa. Boleh jadi cover tak? Kalau tak bagus, cakap! Sahidan cakap okey. Munir juga kata okey, terakhir sekali saya tanya pendapat Zul. Okey tak? Zul baca, teliti baru dia angguk! Okey, bolehlah tu!” imbau Zainol sambil tersenyum.

Itulah kehebatan era Zainol Fakir ketika jadi Pengarang Mastika. Masing-masing tunjuk kehebatan. Kepimpinan Zainol ketika memimpin Mastika patut dicontohi wartawan generasi sekarang.  

Zainol sendiri turut menulis walaupun ada wartawan hebat bersama-sama. Lagi satu, sebagai Pengarang beliau bukan bergaduh tak cukup story tetapi ‘bergaduh’ macam mana nak pilih story terbaik yang patut jadi cover Mastika. Itulah kelebihan dan keistimewaan ketika Zainol jadi Pengarang Mastika.

Zainol (berdiri) memerhatikan anak buahnya bekerja.

Ketika itu sambutan pembaca sungguh di luar dugaan. Dalam tempoh dua tahun, cetakan Mastika sudah mencecah angka 100 ribu naskhah sebulan. Jualan terus meningkat sehingga akhirnya pernah mencecah 150 ribu naskhah sebulan.

Menariknya, sebaik berada di pasaran setiap bulan, Zainol selalu mengajak Munir, Zul dan Sahidan meninjau Mastika di kedai-kedai buku yang berderetan di Jalan Tunku Abdul Rahman atau di Malay Street untuk melihat sambutan pembaca.

Zainol akan bertanya sendiri pada mamak penjual majalah dan buku-buku di sepanjang jalan di tengah ibu kota itu sejauh mana sambutan terhadap Mastika pada bulan berkenaan.

Sebaik mendapat respons yang baik, Zainol merasa seronok kerana Mastika tetap laris di pasaran. Selepas meninjau Mastika, beliau akan mengeluarkan belanja sendiri untuk menjamu anak buahnya makan di restoran mamak berhampiran.

Zainol Fakir mengakui, hidupnya semula Mastika bukanlah disebabkan dirinya seorang.  Segala-gala dilakukan secara team work. Tanpa sokongan anak-anak buah yang sangat berdedikasi seperti Munir, Zulkarnain, Sahidan, Azizah dan Helmi, kejayaan itu tak akan di kecapi sehebat ini sehingga menjadi majalah legenda di Malaysia.

Begitulah seronoknya Zainol Fakir  bercerita tentang suatu ‘zaman besar’ yang pernah dilaluinya semasa mengemudi Mastika era 1990-an sehinggakan cerita-cerita misteri, mayat, Mekah dan sakaratulmaut menjadi fenomena.

Mantan-mantan Pengarang Mastika. Dari kiri Zulkarnain Zakaria, Zainol Fakir, Munir Ghazali dan Sahidan Jaafar.

NOTA : Kisah di atas adalah berdasarkan temubual wartawan Mastika bersama Zainol Fakir pada tahun 2015. Walaupun sudah lama meninggalkan Mastika, kasih sayang Zainol pada majalah kecil ini tetap utuh. Sewaktu ulang tahun ke-65 Mastika, Zainol Fakir dianugerahkan dengan anugerah ‘Bapa Mastika’ kerana jasa-jasanya telah berjaya menghidupkan kembali majalah yang telah nazak itu, seterusnya melonjakkan semula edarannya secara luar biasa.

Pada petang 25 Oktober 2024, Zainol Fakir atau nama penuhnya Mohd Zainol Abidin Bin Faker Mohamad yang berusia 80 tahun telah kembali ke rahmatullah di kediamannya di Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.

Allahyarham umpama bapa kami. Jasanya kepada Mastika takkan pernah dilupakan. Ya Allah, Kau ampunilah dia, rahmati dia, muliakan kematiannya, permudahkan segala urusannya, lapangkan kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya.

Selamat menuju ke negeri abadi bapa Mastika. Al-Fatihah buat Zainol Fakir.

Zainol Fakir sewaktu ditemubual beberapa tahun lalu.
Zainol Fakir dianugerahkan sebagai ‘Bapa Mastika’.

______


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Petisyen ‘Remove Rohingya from Malaysia’ raih 319,546 tandatangan

PETISYEN 'Remove Rohingya from Malaysia' yang menggesa penghantaran pulang pelarian etnik Rohingya dari Malaysia atau menempatkan mereka semula di...

More Articles Like This