DUA lokaliti di Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu mulai esok hingga 17 April depan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, dua lokaliti tersebut adalah Kampung Binyu Baru, Bahagian Samarahan dan Kampung Binyu Lama, Bahagian Kuching, Sarawak.
Di Kampung Binyu Baru, Ismail Sabri memaklumkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan ujian saringan ke atas 11 individu sehingga kini dengan empat kes positif Covid-19 telah direkodkan.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di lokaliti tersebut.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan tindakan kawalan Covid-19 dijalankan dengan cepat serta berkesan dan seterusnya menghalang penularan dalam komuniti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: PKPD dua lokaliti di Perak dan Melaka dilanjutkan
Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan situasi kes Covid-19 di Kampung Binyu Lama, Bahagian Kuching mencatatkan peningkatan kes secara mendadak.
Pada masa sama, beliau berkata, KKM turut mengesahkan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti yang tinggi apabila sehingga 1 April lalu, sebanyak 57 kes positif Covid-19 telah direkodkan di lokaliti berkenaan.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Binyu Lama, Bahagian Kuching, Sarawak bermula 4 hingga 17 April,” jelas beliau.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri turut memaklumkan hanya enam individu telah ditahan semalam daripada 64,070 pemeriksaan yang dilakukan Pasukan Petugas Operasi Pematuhan semalam.
Menurut Ismail Sabri, lima daripada enam individu berkenaan telah dikompaun manakala seorang lagi direman.
Antara kesalahan yang direkodkan kata Ismail Sabri adalah melibatkan gagal merekod butiran diri di aplikasi MySejahtera atau secara manual iaitu seramai tiga individu; dua ditahan kerana rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran manakala seorang lagi ekoran tidak memakai pelitup muka.
“Seramai 3,395 pasukan pematuhan melibatkan 15,742 anggota yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat pemantauan di pasar raya (4,427), restoran (5,348), kilang (2,172), bank (3,227), pejabat kerajaan (909) dan penjaja (3,858).
“Turut dipantau ialah pasar awam/tani (101), tempat ibadah (168), tempat riadah (15,382), terminal pengangkutan darat (3,520), terminal pengangkutan air (1,761) dan terminal pengangkutan udara (726),” jelas beliau lagi.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

