MEMANG sesuailah kita mengelar dadah sebagai najis. Ini kerana jika sebelum ini dadah diproses dari pelbagai jenis bahan kimia atau dari pokok popi, kini penagih dadah ‘menikmati’ dadah yang diproses dari cendawan pada najis lembu.
Perbuatan menghasilkan dadah dengan cara kotor dan jijik daripada cendawan yang tumbuh pada najis lembu bagaimanapun dapat dikesan pihak polis yang melakukan beberapa serbuan.
Cendawan jenis ini dikenali dalam kalangan spesies panaeolus cyanescens, yang antara lain bukan sahaja boleh menyebabkan halusinasi, tetapi juga merosakkan kesihatan, membawa kepada gangguan mental, dan kesan negatif lain.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan dadah jenis itu digunakan digunakan sebagai hiburan.
Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman DCP Zainudin Ahmad berkata dadah jenis tersebut kebanyakan dalam bentuk cecair sering digunakan dengan dicampurkan ke dalam minuman sewaktu penganjuran parti liar dan di pusat hiburan.
BERITA BERKAITAN Makmal dadah di kawasan mewah, dua pasangan suami isteri dalang utama – Ayob Khan
“Najis lembu akan mengeluarkan cendawan dan akan diproses… dadah jenis ini akan membuat mereka yang mengambilnya berhalusinasi.
“Mereka yang mengambil dadah jenis ini akan positif ujian air kencing,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di Kuala Lumpur malam tadi.
Zainudin berkata walaupun penggunaan dadah tersebut masih sedikit dan kurang popular di pasaran tempatan namun pihaknya sentiasa berwaspada dengan permintaan dadah masa kini.
Jelasnya lagi, permintaan terhadap dadah jenis ganja, syabu dan heroin masih mendapat permintaan tinggi.
Sementara itu, mengulas mengenai trend baharu pengedaran dadah ketika negara dilanda pandemik Covid-19, Zainudin berkata sindiket terbabit semakin aktif menggunakan perkhidmatan e-hailing, kurier dan e-dagang untuk meneruskan aktiviti mereka.
Menurutnya, sejak 18 Mac tahun lepas sehingga kelmarin PDRM membuat 156 tangkapan yang melibatkan penghantar dan penerima iaitu 40 tangkapan membabitkan e-hailing, kurier (100) dan e-dagang (16).
“PDRM bekerjasama dengan syarikat perkhidmatan kurier dan mereka akan melaporkan jika terdapat maklumat pada barangan yang mencurigakan,” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

