Kita sering membaca berita tokoh-tokoh yang mendapat Anugerah Nobel. Apa yang disebut sebagai Anugerah Nobel?

Anugerah ini diberi kepada individu yang telah melakukan penyelidikan atau ciptaan ulung dan banyak memberi sumbangan kepada masyarakat. Ia terbahagi dalam beberapa kategori. Antaranya seperti Hadiah Nobel Kimia, Hadiah Nobel Fisiologi / Perubatan, Hadiah Nobel Kesusasteraan dan Hadiah Keamanan Nobel.

Tahukah anda, siapa Nobel hingga namanya dijadikan antara anugerah tertinggi pencapaian manusia?

Nobel atau nama penuhnya Alfred Nobel adalah seorang pereka cipta dan ahli kimia berbangsa Sweeden. Ciptaannya yang paling terkenal ialah dinamit, sejenis bahan letupan yang banyak digunakan semasa perang dunia meletus.

Nobel juga mereka ballistite, juga bahan letupan yang dikembangkan membentuk teknologi pelbagai jenis peluru. Kalau diikutkan, Nobel telah mencipta lebih 350 jenis rekaan. Paling terkenal, sudah tentu bahan letupan. Disebabkan itu, Nobel menjadi kaya apabila ciptaannya dipatenkan.

Alfred Nobel bersama salah satu ciptaannya yang terkenal, dinamit.

Bagaimana pula Anugerah Nobel terhasil? Begini, suatu hari sekitar tahun 1888, Nobel terbaca artikel tentang kematian abangnya. Ia menyedarkan Nobel untuk melakukan sesuatu agar dirinya terus diingati jika dia mati kelak.

Oleh itu, beliau membuat satu wasiat yang menyatakan segala harta dan asetnya digunakan untuk mencipta sebuah anugerah sepanjang zaman.

Anugerah itu diberikan kepada mereka yang telah mencipta sesuatu yang memberikan pelbagai faedah dalam kehidupan manusia, terutama dalam bidang fizik, kimia, perubatan, keamanan dan juga sastera. 

Alfred Nobel.

Daripada idea Nobel akhirnya muncul Yayasan Nobel yang menguruskan penganugerahan ini setiap tahun (walaupun ada tahun tiada pemenang dipilih).       

Ada juga yang mengatakan Nobel membuat anugerah keamanan kerana dia seakan menyesal kerana banyak ciptaannya berupa alat pemusnah yang telah membunuh ramai manusia. Tapi, tidak dapat dinafikan banyak juga ciptaannya yang membantu membangunkan kehidupan manusia pada hari ini.

Nobel meninggal dunia di Itali pada 10 Disember 1896 ketika berusia 63 tahun kerana angin ahmar.

_______________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.