TREND pembelian online semakin berkembang apatah lagi dalam tempoh pandemik COVID-19.
Sebut sahaja, dari barang dapur sehinggalah alat ganti kenderaan semuanya ada dijual di platform e-dagang.
Tidak terkecuali, urusan jual beli barang kemas yang nilainya bukan sedikit turut dilakukan secara online.
Namun, suatu yang tidak boleh dielak ialah kes penipuan yang turut berkembang sama dengan trend tersebut.
Malah menurut Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, bilangan kes penipuan jualan barang kemas online pada tiga bulan pertama tahun ini sahaja hampir menyamai jumlah untuk keseluruhan tahun lalu.
Ini apabila sebanyak 37 kes melibatkan kerugian berjumlah RM239,530 direkodkan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, sebagai perbandingan, untuk sepanjang 2019 sebanyak 21 kes dilapor membabitkan kerugian berjumlah RM148,444.
Katanya, jumlah kes itu kemudian meningkat pada tahun 2020 dengan 44 kes melibatkan kerugian RM261,954.
Justeru jelas beliau, peningkatan jumlah kes penipuan barang kemas ini merupakan situasi yang perlu ditangani secara serius kerana kes dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini antara paling tinggi dicatatkan sejak dua tahun lalu.
“Orang awam juga diminta supaya tidak percaya dengan sebarang tawaran jualan barang kemas murah daripada harga pasaran semasa terutama apabila tawaran dibuat pihak yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.
“Mereka juga perlu membuat semakan ketulenan transaksi dan memastikan urusan pembelian dijalankan melalui perjanjian dan kaedah diperakui supaya tidak mudah menjadi mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Macau Scam: 12,000 aduan dan RM579 juta ‘lebur’ sejak 2019
Zainuddin berkata, pihaknya telah melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan usaha membanteras kegiatan itu dilakukan secara efektif.
“Namun dari aspek pencegahan, pembabitan masyarakat amat diperlukan dan orang ramai digesa berhati-hati dalam segala urusan pembelian barang kemas secara dalam talian,” katanya.
Menurutnya, orang ramai juga boleh membuat semakan pengesahan akaun dan talian telefon melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk mengenal pasti sama ada akaun terbabit pernah terlibat dalam kes penipuan atau tidak sebelum membuat sebarang transaksi pembayaran.
Orang ramai juga boleh berhubung dengan CCID Scam Response Centre melalui talian 03-26101599/1599 jika mempunyai sebarang keraguan.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

