AKTIVITI di pusat hiburan kembali mencatatkan jumlah tertinggi individu yang ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menerusi Operasi Pematuhan yang dijalankan semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 112 individu daripada 208 yang ditahan adalah disebabkan kesalahan aktiviti di pusat hiburan.
Beliau berkata, dariapda jumlah keseluruhan 208 yang ditahan itu, 199 individu telah dikompaun manakala sembilan lagi direman.
Katanya, antara kesalahan lain yang direkodkan semalam termasuk 27 gagal menyediakan peralatan merekod butiran diri pelanggan.
Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, seramai 16 individu ditahan kerana tidak memakai pelitup muka manakala 53 lagi atas lain-lain kesalahan.
“Pasukan Petugas Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 66,140 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP.
“Seramai 3,196 pasukan pematuhan melibatkan 14,654 anggota telah membuat pemantauan di 5,839 buah restoran, pasar raya (4,481), bank (3,936), penjaja (3,019), pasar awam/tani (2,184), kilang (2,163) dan pejabat kerajaan (731).
“Turut dipantau ialah tempat ibadah (3,332), tempat riadah (1,810), terminal pengangkutan darat (1,759), terminal pengangkutan air (347) dan terminal pengangkutan udara (106),” jelas beliau dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Kluster Teknologi Peramu Jaya sebabkan PKPD 5 kawasan di Pekan, Pahang
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengumumkan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Tapah, Batang Padang, Perak selama dua minggu bermula 13 hingga 26 April depan.
Menurut Ismail Sabri, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 3,572 ujian saringan dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 891 kes positif Covid-19 telah direkodkan.
“KKM juga mengesahkan masih berlaku penularan jangkitan serta ramai tahanan yang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) belum sembuh sepenuhnya.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Penjara Tapah, Batang Padang, Perak,” katanya.
Pada masa sama, Ismail Sabri juga memaklumkan penambahan lokaliti PKPD di Mukim Hulu Besut, Besut, Terenggan yang ketika ini berada dikenakan PKPD yang dijadualkan tamat pada 20 April depan.
Katanya, sebanyak 61 kes positif Covid-19 telah direkodkan hasil saringan kontak rapat di lokaliti tersebut sehingga semalam.
Walau bagaimanapun, beliau berkata, KKM mengesahkan terdapat keperluan kawasan PKPD diperluaskan ke dua lokaliti bersebelahan iaitu Kampung Pak Sik dan Felcra Keruak berikutan terdapat pergerakan kes positif Covid-19 di kedua-dua kampung tersebut akibat aktiviti keramaian dan perkumpulan.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Kampung Pak Sik dan Felcra Keruak, mukim Hulu Besut, Besut, Terengganu bermula 12 April hingga 20 April depan.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk dan seterusnya mengawal penularan jangkitan Covid-19,” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

