HAMZAH ZAINUDIN /Gambar FB Kdn

“SAYA minta maaflah kalau ada orang yang mengatakan saya mencampurinya,” tegas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Penegasannya itu berhubung dakwaan beliau campur tangan arahan pertukaran pegawai kanan polis yang kini terpaksa ditangguhkan.

Tidak seperti didakwa, Hamzah menjelaskan beliau tidak pernah mencampuri urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut beliau, sebarang urusan pertukaran pegawai kanan polis adalah keputusan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP).

“Saya tidak pernah mencampuri urusan polis, saya minta maaflah kalau ada orang yang mengatakan saya mencampurinya.

“Tapi ini jelas, kerana saya adalah pengerusi SPP kalau ada keputusan yang telah dikeluarkan adalah keputusan SPP, tapi itulah kadang-kadang keputusan ini ada khilafnya ada orang yang kadang-kadan menerima sesuatu keputusan itu dengan cara (maksud) lain,” katanya seperti dilapor BERNAMA.

Ahli Parlimen Larut itu berkata demikian selepas hadir Program Wacana Meja Bulat bersama Menteri Dalam Negeri di Putrajaya hari ini.

Baca artikel berkaitan: Command and control pada IGP, akan jumpa Menteri KDN isu tangguh pertukaran

Hamzah diminta mengulas mengenai isu campur tangan beliau dalam pertukaran pegawai kanan polis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, arahan pertukaran pegawai kanan membabitkan seramai 71 orang termasuk Ketua Polis negeri yang akan berkuatkuasa 12 April hadapan adalah demi kebaikan semua.

Justeru, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Hamzah berkaitan pelaksanaan pertukaran jawatan pegawai kanan polis yang ditangguhkan sebelum ini.

Abdul Hamid berkata, perjumpaan itu bagi menjelaskan tentang kedudukannya serta kuasa beliau selaku Ketua Polis Negara.

“Tindakan saya mengeluarkan perintah pertukaran itu seperti mana undang-undang menyatakan ‘Command and Control’ kawal selia polis adalah di bawah tanggungjawab saya sebagai Ketua Polis Negara.

“Saya mengeluarkan arahan pertukaran pegawai untuk kebaikan semua dan tiada apa-apa yang luar biasa.

“Di saat akhir ketika saya sedang bercuti, tiba-tiba dapat arahan menyatakan ia hendaklah ditangguhkan. Jadi saya akan berjumpa dengan beliau (Hamzah) dan akan memberikan penjelasan kenapa ia perlu diteruskan,” katanya beberapa hari lalu.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram