HASRAT kerajaan untuk menurunkan kes penularan Covid-19 kepada hanya dua angka menjelang bulan Mei disifatkan sebagai tidak kesampaian.
Pada masa sama, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut berpandangan, kadar vaksinasi yang dijalankan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) masih perlahan.
Menurut Najib, ia sejajar dengan kenyataan Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin yang memaklumkan bahawa bekalan vaksin mencukupi hanya akan pulih menjelang bulan Jun depan.
“Kadar vaksinasi negara masih sangat perlahan. Menteri vaksin (Khairy) kata bekalan vaksin yang mencukupi hanya dijangka pulih pada bulan Jun.
“Nampaknya hasrat kerajaan untuk turunkan kes jangkitan baharu setiap hari kepada dua angka menjelang bulan Mei dengan pelaksanaan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Januari lalu bakal tidak kesampaian.
“Apa pun, kita jangan leka semasa menyambut bulan Ramadan,” katanya menerusi hantaran dalam akaun Facebook miliknya hari ini.
Baca artikel berkaitan: Kemungkinan gelombang keempat, 6 negeri sambung PKPB
Mengulas lanjut, Najib berkata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah telah pun memberi amaran mengenai peningkatan semula kes Covid-19 setiap hari sejak 7 April lalu.
“Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga telah beri amaran bahawa Malaysia mungkin berdepan gelombang keempat biar pun gelombang ketiga masih belum reda.
“Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R0/Rt diberi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) naik ke 1.07 iaitu paling tinggi sejak 4 Februari lalu dan di atas paras neutral 1.00,” jelas beliau.
Semalam, Ismail Sabri memaklumkan data daripada KKM menunjukkan kemungkinan berlakunya gelombang keempat penularan Covid-19 dalam negara.
Sehubungan itu, kata beliau, orang ramai perlu bersama-sama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) apatah lagi kelonggaran telah diberikan dalam bulan Ramadan seperti bazar Ramadan, majlis berbuka, moreh dan solat tarawih berjemaah.
Walaupun Malaysia masih merekodkan kadar empat angka kes harian iaitu sekitar 1,000 kes, namun Ismail Sabri berkata, perkembangan itu masih belum menunjukkan kita selamat daripada dijangkiti wabak berkenaan.
Penemuan varian baharu di beberapa negara, kata beliau seperti United Kingdom, Afrika Selatan, Nigeria dan Brazil hujung tahun lalu menjadi salah satu faktor berlakunya ketidaktentuan kes pada hari ini.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

