MEMANG sangat tepat apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mula memberi perhatian khusus kepada Sarawak berikutan peningkatan kes baharu COVID-19 di negeri tersebut.
Hari ini, sahaja sebanyak 607 kes COVID-19 dilaporkan di Sarawak yang mana angka itu kira-kira satu pertiga daripada kes baharu hari ini yang berjumlah 1,767 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 kini berjumlah 363,940 kes.
Katanya, kedua tertinggi mencatatkan kes baharu ialah Selangor dengan 483 kes, Kuala Lumpur 133 kes dan Sabah 117 kes.
Turut mencatatkan kes baharu tiga angka ialah Kelantan dengan 103 kes.
Hari ini menyaksikan hanya Perlis mencatatkan sifar kes baharu manakala Labuan tiga kes, Putrajaya tujuh kes, Terengganu 13 kes dan Pahang, 14 kes.
“Hari ini juga terdapat 12 kes kematian yang melibatkan masing-masing empat kes di Sabah dan Sarawak, tiga kes di Selangor dan satu kes di Terengganu.
“Kesemua kes melibatkan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka. Kumulatif kes kematian kini berjumlah 1,345 kes,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Baca artikel berkaitan: Kes baharu lebih 1,700, Sarawak pula tiga tertinggi

Sementara itu, Noor Hisham berkata, kes sembuh yang dilaporkan hari ini sebanyak 1,290 kes iaitu lebih rendah berbanding bilangan kes baharu.
Ini menjadikan kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini bertambah kepada 16,300 kes.
“Daripada jumlah itu, 199 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 82 memerlukan alat bantuan pernafasan,” jelasnya.
Sementara itu, hari ini juga menyaksikan sembilan kes import dilaporkan manakala daripada 1,758 kes tempatan, kira-kira 14 peratus terdiri daripada bukan warganegara.
“Sebanyak 21 kes (1.2 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Jalan Salleh (11 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (7 kes), dan Kluster Telok Mas (3 kes),” ujarnya,
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

