SEKURANG-KURANGNYA10,000 tan makanan masih elok dan plastik, terbuang pada awal Ramadan di Semenanjung Malaysia.
Memetik Harian Metro, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jumlah direkodkan itu adalah berdasarkan anggaran oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dalam tempoh sehari.

“Jumlah ini dijangka meningkat dari semasa ke semasa kerana semakin ramai pengguna berbelanja sehingga akhir Ramadan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Undi Perdana Kerja Di Bawah Peruntukan Kementerian Alam Sekitar dan Air bagi Jabatan pengairan Saliran Pahang dekat Jerantut, hari ini.
Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata, tindakan rakyat termasuk peniaga bazar Ramadan dan gerai yang membuang makanan dan bekas plastik secara tidak terurus akan mengancam sistem saliran berlaku pencemaran.
“Membuang makanan yang masih elok terutamanya di bulan Ramadan adalah tabiat yang dilarang oleh agama Islam. Sepatutnya ia disimpan atau diberi kepada golongan yang memerlukan.
“Begitu juga dengan pembuangan plastik yang tidak terurus boleh menyebabkan sistem saliran tersumbat sekali gus menyumbang kepada berlakunya banjir kilat.
“Sekiranya sungai dan laut dipenuhi plastik atau sisa buangan ia boleh menyebabkan pencemaran serta mengancam hidupan air,” katanya.
Sementara itu Tuan Ibrahim berkata, kementeriannya merancang tiada lagi penggunaan dan pembuangan sisa plastik pada 2030 sekali gus mengelakkan pencemaran air termasuk gangguan sistem perparitan.
Beliau menambah, pembuangan dan pengurusan sampah secara sempurna dan teratur dapat membantu kerajaan mengurangkan kos kerja pembersihan sistem perparitan di bandar dan aliran sungai di seluruh negara.

