PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bakal hadir bagi merasmikan Konvensyen RESET Malaysia yang akan diadakan di Tanah Merah, Kelantan, esok.
Perkara itu diumumkan Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Mohd Syahir, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang telah menerima undangan Datuk Seri Hamzah Zainudin dan bersetuju untuk hadir bagi merasmikan Konvensyen RESET Malaysia itu.
Pada masa sama, kata beliau, selain program tersebut, terdapat satu lagi peristiwa penting melibatkan pimpinan Pas.
“Tan Sri Abdul Hadi menerima undangan Datuk Seri Hamzah Zainuddin, dan bersetuju untuk hadir merasmikan Konvensyen RESET di Kelantan.
“Ceramah perdana di Negeri Sembilan pula, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man akan menerima kemasukan lebih 10 tokoh (profesional, korporat, pentadbiran) untuk menyertai Pas,” katanya dalam hantaran tersebut.
Mohd Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata, pada masa sama, sedang berlangsung mesyuarat agung Pas kawasan di seluruh negara, dengan ahli dan cawangan yang bertambah.
“PASTI dan SRITI yang dibuka, serta aktiviti kebajikan yang berterusan,” katanya.
Sebelum ini wujud desas desus dan laporan media yang menyatakan Hamzah dan penyokongnya akan mengambil alih Parti Cinta Malaysia (PCM), namun persoalan itu enggan dijawab bekas Timbalan Presiden Bersatu itu.
Selain Hamzah, turut dipecat Bersatu sebelum ini Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Wan Saiful Wan Jan; Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota); Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), Kapten Azahari Hasan (Padang Rengas) dan Fathul Huzir Ayob (Gerik).
Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga dipecat termasuk ADUN Sungai Manik yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan ADUN Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

