amalan wanita sedang haid

Umum mengetahui bagi wanita yang sedang keluar darah haid maka diharamkan bagi mereka beberapa ibadah utama seperti berpuasa, mendirikan solat atau membaca al-Quran. Walaupun begitu masih terdapat amalan atau ibadah lain yang mereka boleh lakukan agar tetap beroleh pahala Ramadan antaranya:

Pertama: Bersedekah

Ibadah sedekah tidak mengekang wanita yang sedang haid untuk bersama-sama memperoleh ganjaran Ramadan. Keluarkanlah sedekah dan zakat di dalam bulan Ramadan. Semuanya tetap dilihat sebagai ibadah yang dijanjikan pahala dari Allah.

Apatah lagi ganjaran bersedekah bukan hanya dinikmati dalam bentuk batin (pahala) semata malah turut dibayar dengan zahir (dilipat gandakan hartanya).

Bahkan dalam sebuah hadis Baginda s.a.w. disebutkan sebagai orang yang paling pemurah bersedekah di bulan Ramadan berbanding bulan-bulan yang lain.

Ibnu Abbas r.a. menceritakan, “Nabi s.a.w. adalah manusia paling pemurah. Dan pemurahnya Baginda semakin menjadi-jadi saat Ramadan apalagi ketika Jibril menemuinya. Dan Jibril menemuinya setiap malam bulan Ramadan dia bertadarus al-Quran bersamanya. Maka Rasulullah benar-benar sangat pemurah dengan kebaikan laksana angin yang berhembus.” HR Bukhari

Kedua: Berzikir

Tiada larangan bagi wanita yang sedang haid untuk membaca zikir. Malah Baginda s.a.w. menyebutkan dalam sebuah hadis,

Perumpamaan orang yang membaca zikir dengan tidak membacanya adalah seperti orang yang hidup dengan orang yang mati” HR Bukhari

Ketiga: Berdoa

Sama seperti zikir, tiada juga larangan bagi wanita yang haid untuk berdoa. Malah boleh berdoa bila-bila masa pun dan di mana jua. Mohonlah doa sebanyak-banyaknya terutama ketika waktu-waktu yang paling mustajab antaranya waktu sahur dan berbuka. Sambal-sambil memasak atau menyediakan hidangan untuk berbuka, bolehlah berdoa kepada Allah S.W.T.

Aisyah r.ha. juga pernah bertanya kepada Baginda s.a.w.

Wahai Rasulullah! Seandainya aku bertemu Lailatul Qadar, doa apa yang harus aku baca?” Jawab Baginda s.a.w. “bacalah, Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’ fu ‘anni” (Wahai Tuhan, Engkau Maha Pengampun, Engkau menyukai orang yang meminta ampun. Kerananya ampunilah aku” HR Ibnu Majah

Wanita sedang haid walaupun tidak boleh membaca al-Quran namun masih boleh berdoa

Keempat: Menyediakan makanan untuk berbuka dan bersahur

Janganlah bersedih dan berduka seandainya tidak dapat berpuasa, atau mendirikan solat sepanjang Ramadan. Allah S.W.T. itu Maha Adil, tetap juga diberikan ganjaran yang selayaknya pada setiap amal perbuatan.

Seandainya tidak dapat solat tarawih atau tahajud di malam hari, dengan menyediakan makanan untuk orang yang bersahur dan berbuka juga dianggap ibadah dan beroleh pahala yang besar.

Apatah lagi jika seorang isteri yang berbakti kepada suami dan keluarganya atau seorang anak kepada kedua ibu bapanya. Wallahu a’lam

Artikel Berkaitan: Amalan terbaik di bulan ramadan inilah dia , Benarkah meninggal dunia di bulan Ramadan terlepas seksa kubur ini penjelasannya

____________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram