Guna hasil perjudian untuk berhari raya, boleh atau tidak? Ini penjelasannya

Dari Penulis

Ada ke patut di saat umat Islam sedang sibuk mengejar fadilat, kelebihan dan ganjaran pahala yang besar dalam bulan Ramadan, tular pula iklan Aidifitri versi mempromosi judi oleh Gbet333 dan IBC003.

Kedua-dua iklan ini dilihat menggunakan khidmat pelakon beragama Islam yang lengkap berbaju kurung dan Melayu dengan berlatarbelakangkan suasana beraya di kampung. Dengan idea dan konsep mengajak umat Islam menggunakan perkhidmatan mereka bagi meraih wang berganda bagi perbelanjaan di hari raya, ia nyata menambah kemarahan umat Islam.

Rata-rata umat Islam menyifatkan pihak perkhidmatan perjudian di Malaysia ini semakin melampau kerana terbuka menghina Islam. Malah apa yang dikesalkan, para pelakon yang membintangi iklan tersebut seakan tidak sensitif apabila bersedia melakonkan iklan tersebut yang memang terang lagi bersuluh mengajak masyarakat untuk berjudi ketika di bulan Ramadan.

Tindakan ini benar-benar menghina kesucian Ramadan dan agama Islam kerana jelas Islam melarang umatnya untuk berjudi. Malah ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Ini jelas dalam firman Allah surah al-Baqarah: 219

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya…”

Berhari raya dengan duit judi

Bagaimanapun tidak dinafikan, untuk menyambut hari raya memang banyak perbelanjaan diperlukan terutama bagi sesebuah keluarga. Macam-macam benda ingin dibeli sebagai meraikan kemeriahan hari raya.

Judi termasuk dalam dosa-dosa besar

Malah bagi seseorang yang mengalami kesempitan wang sudah pasti akan mencuba apa sahaja jalan bagi menambahkan pendapatan mereka tidak kiralah jalan yang halal atau yang haram. Apa yang penting perbelanjaan hari raya dapat dipenuhi. Hanya imanlah yang menjadi benteng  untuk memilih jalan yang benar atau yang batil.

Bagi yang imannya setebal kulit bawang atau langsung tidak tersisa iman dalam hati, sudah pasti akan memilih jalan yang batil sama ada berjudi, mencuri, menipu, pinjam ahlong atau apa sahaja semata-mata untuk berduit di kala hari raya.

Lalu persoalannya bagaimana Islam melihat budaya atau permasalahan ini. Bolehkah wang dari sumber yang haram seperti riba, judi, mencuri, hasil maksiat atau yang telah bercampur dengan halal (disebut hasil syubhah) digunakan untuk perbelanjaan hari raya?  

Menjawab persoalan ini menurut Muhammad az-Zuhaili dalam al-mu’tamad fi al-feqh al-Syafie, harta atau wang yang diperoleh dari sumber haram tidak boleh digunakan. Jika duit tersebut semata-mata daripada sumber haram maka jadilah hartanya haram. Dan jika bercampur dengan duit yang halal maka jadilah harta syubhah.

Dan jika dia menggunakan duit tersebut untuk berbelanja harian atau membayar hutang hukumnya haram dengan dosanya ditanggung oleh dirinya sendiri.

Namun sekiranya dia sudah bertaubat dan tidak ingin melakukan lagi perbuatan maksiatnya, duit tersebut boleh juga digunakan untuk keperluan maslahah umum seperti disedekahkan kepada fakir miskin, pembinaan jalan raya, jambatan, tandas awam dan sebagainya. Atau boleh juga diserahkan kepada pihak baitulmal, (pihak berkuasa yang menguruskan harta).

Harus gunakan wang haram untuk maslahah ummah

Ini kerana menurut Imam al-Ghazali, Imam Ahmad bin Hanbal serta ulama salaf yang lain, tidak dibenarkan untuk menghapuskan harta haram tersebut seperti dibuang ke dalam laut. Jika ada pemiliknya seperti duit hasil curi, wajib dipulangkan kepada pemiliknya atau kepada waris terdekat.

Akan tetapi jika tidak ditemui keduanya, dan dia berputus asa mencari, maka wang atau harta tersebut hendaklah digunakan untuk keperluan umat Islam seperti yang dinyatakan di atas.

Islam sangat menitik beratkan halal dan haram terutama dalam aspek wang dan harta pencarian. Berjudi sememangnya jelas haram di dalam Islam dan termasuk dosa yang besar. Apabila seseorang menggunakan hasil yang kotor dan haram dalam perbelanjaan mereka, sudah pasti ia mengundang kemurkaan Allah.

Malah memberi kesan kepada kehidupan mereka sendiri, kerana memperoleh hasil yang tidak berkat.

Harus menerima wang haram

Walau bagaimanapun penerima wang tersebut tidak dibeban dengan hukum haram dan dosa dari wang tersebut. Sebagai contoh si fulan menggunakan duit haram untuk membeli baju. Maka penjual baju boleh menerima wang tersebut sekalipun dia tahu wang itu dari sumber haram.

Itu kerana proses jual beli tersebut halal, dan dosanya hanya ditanggung oleh si fulan bukan si penjual. Malah hukumnya harus di sisi syarak menerima wang dari jual beli, sedekah, pemberian duit raya atau hadiah dari sumber yang haram.

Dan inilah pandangan daripada salah satu riwayat Ibnu Sirin seperti yang dinyatakan oleh Imam Ibnu Rejab al Hanbali dan daripada Ibnu Taimiyyah dalam al-Qawaid al-Feqiyyah.

Dalam urusan muamalat, seandainya seseorang menerima wang daripada sumber haram seperti jualan arak, riba, menang loteri atau judi, pelacuran, duit curi dan sebagainya yang dia sendiri tidak lakukan, maka hukumnya harus.

Begitu juga jika dia menerima wang atas dasar jual beli, sedekah, bayaran hutang atau hadiah yang dia memang tidak terlibat dengan kegiatan tersebut maka hukumnya tetap halal. Ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T. dalam surah al-An’am: 164,

Dan tiadalah (kejahatan) yang dilakukan oleh setiap orang itu melainkan orang itu sahaja yang akan menanggung dosanya

Berdasarkan dalil ini, seseorang tidak akan menanggung dosa seseorang yang lain. Dalam konteks muamalat dengan harta yang haram, dosa si pelaku perbuatan haram adalah ditanggung olehnya sahaja dan tidak ditanggung oleh pihak yang lain yang bermuamalat dengannya.

Lalu berbalik kepada isu di atas, menggunakan wang judi yang jelas haram atau wang syubhah untuk berbelanja ketika menyambut hari raya jelas hukumnya haram dan berdosa, apatah lagi jika tidak ada keinginan dan usaha untuk bertaubat sama sekali.

Sudahlah bulan Ramadan dicemari dengan aktiviti perjudian atau pertaruhan, sedangkan inilah bulan yang paling ditunggu untuk meraih pengampunan dan keberkatan. Hari raya pula diraikan dengan wang hasil kemenangan perjudian. Nauzubillah, tunggu sahajalah balasan dari Allah nanti.

Semoga kita semua ditetapkan iman untuk meraih ganjaran Ramadan dan dihindar dengan perbuatan yang rugi dan sia-sia di sisi Allah S.W.T. Wallahu a’lam.

_____________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram   


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Syarahan Perdana Tokoh Maal Hijrah 1448H Beri Fokus Kepada Mesej Keamanan & Peradaban Kontemporari

PERISTIWA Maal Hijrah tidak seharusnya dibiarkan berlalu sekadar penceritaan lipatan sejarah dan sambutan tahunan semata-mata, sebaliknya ia perlu diangkat...

More Articles Like This