Orang ramai ketika membeli-belah di Bazar Aidilfitri Kuala Lumpur @ Jalan Tuanku Abdul Rahman tahun lepas. GAMBAR: Abd Razak Aid

SISTEM laluan sehala yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Bazar Aidilfitri Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) disifatkan menyukarkan pengunjung ke bazar ‘warisan’ ibu kota itu.

Tinjauan UtusanTV ke bazar Aidilfitri itu mendapati kawasan ruang niaga ke bazar ‘normal baharu’ itu dibahagikan kepada empat seksyen iaitu A, B, C dan D.

Setiap seksyen pula dipagari dengan besi penghadang setinggi dua meter bagi menghadkan kapasiti pengunjung supaya tidak bersesak bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Pada masa sama, bazar yang dikawal dan dipantau sepenuhnya DBKL itu juga meletakkan sistem laluan sehala di mana laluan berbeza untuk masuk dan keluar.

Sistem laluan sehala serta berpagar yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) disifatkan menyukarkan orang ramai untuk berkunjung ke Bazar Aidilfitri Kuala Lumpur @ Jalan Tuanku Abdul Rahman. GAMBAR: Abd Razak Aid

Bagi seorang peniaga baju Melayu, Cik Tina Abu Zanar, 65, pelaksanaan bazar Aidilfitri tahun ini ternyata berbeza dengan tahun sebelumnya.

Dia yang sudah berniaga selama 30 tahun di bazar itu berkata, orang ramai sukar memasuki kawasannya berniaga disebabkan laluan sehala yang digunapakai.

“Bila ada penghadang besi ini dan laluan untuk orang ramai jadi terhad. Pelanggan yang terlepas kedai juga susah untuk berpatah balik kerana perlu keluar semula dan masuk di laluan mula,” katanya kepada UtusanTV hari ini.

Orang ramai perlu mematuhi prosedur opeasi standard (SOP) dengan mengimbas aplikasi mySejahtera sebelum masuk untuk membeli belah bagi keperluan Hari Raya di Bazar Aidilfitri Kuala Lumpur @ Jalan Tuanku Abdul Rahman. GAMBAR: Abd Razak Aid

Bazar Aidilfitri Jalan TAR yang baru masuk hari kedua operasi hari ini kembali semula di kawasan tradisinya itu selepas ditempatkan di Jalan Raja, dua tahun lalu.

Pelaksanaan bazar itu terpaksa dibatalkan tahun lalu selepas kerajaan memutuskan mengenakan PKP ekoran penularan Covid-19.

Operasi Bazar Aidilfitri itu juga sedikit berbeza daripada tahun-tahun sebelum ini demi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan peniaga dan orang ramai perlu mengimbas aplikasi MySejahtera, menjaga penjarakan fizikal dan memeriksa suhu badan.

Dalam pada itu, peniagan baju kurung, Sihar Ab. Rahman, 59, berpendapat faktor cuaca sejak beberapa hari dan sekatan perjalanan rentas negeri menjadi punca bazar Aidilfitri itu seolah-olah kurang mendapat sambutan pada permulaan Ramadan ini.

Walau bagaimanapun, Sihar turut memanjatkan kesyukuran dan meluahkan penghargaan kepada pihak berkuasa yang membenarkan bazar itu dibuka selepas dibatalkan tahun lalu disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19.

Kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengedarkan pas khas kepada orang ramai sebelum memasuki kawasan Bazar Aidilfitri Kuala Lumpur @ Jalan Tuanku Abdul Rahman. GAMBAR: Abd Razak Aid

“Hari pertama dan kedua bazar ini dibuka memang pengunjung agak kurang kerana faktor cuaca yang hujan dari petang hingga malam.

“Satu lagi mungkin kerana aktiviti rentas negeri yang tidak dibenarkan. Kawasan Jalan TAR ini sebenarnya menjadi tumpuan pengunjung seluruh negara tapi bila tak dibenarkan mungkin jadi punca pengunjung kurang.

“Tetapi saya tetap bersyukur kerana tahun ini pihak berkuasa membenarkan bazar ini beroperasi semula. Dapatlah kami mencari pendapatan tambahan dengan berniaga di sini semula,” katanya.

Peniaga Baju Kurung, Sihar Ab Rahman, 59, mengosok baju kurung yang dijual dikedainya di Bazar Aidilfitri Kuala Lumpur @ Jalan Tuanku Abdul Rahman. GAMBAR: Abd Razak Aid

Sementara itu, seorang pengunjung, Tuan Mohd. Abduh Tuan Junoh, 30, tidak melepaskan peluang datang sendiri ke bazar tersebut lebih-lebih lagi dibuka di tapak asal walaupun terpaksa mematuhi SOP yang agak ketat.

“Saya sangat gembira apabila bazar Aidilfitri ini dibenarkan beroperasi semula sebab itu saya datang hari ini. Lagi pun, saya lebih suka buat persiapan lebih awal.

“Saya juga risau kalau persiapan agak lewat nanti orang terlalu ramai dan sukar memilih baju raya yang menarik perhatian. Saya juga lihat harga barangan yang dijual kali ini agak berpatutan,” jelas beliau.

Tuan Mohd. Abduh Tuan Junoh, 30, (kiri) bersama adiknya memilih baju melayu untuk persiapan Hari Raya di Bazar Aidilfitri Kuala Lumpur @ Jalan Tuanku Abdul Rahman. GAMBAR: Abd Razak Aid
Orang ramai ketika membeli-belah di Bazar Aidilfitri Kuala Lumpur @ Jalan Tuanku Abdul Rahman. GAMBAR: Abd Razak Aid