MAAHAD Tahfiz Sains Tanah Merah menjadi lokasi terbaru di Kelantan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Pelaksanaan PKPD di maahad tahfiz itu bermula esok hingga 2 Mei berikutan peningkatan kes COVID-19 secara mendadak.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di kawasan itu setelah penilaian risiko dibuat bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 396 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 43 kes positif telah direkodkan.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti luar,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Hari keempat berturut lebih 2,000, Kelantan catat rekod 332 kes
Kadar kebolehjangkitan terus naik, Kelantan rekod tertinggi
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru, Kampung Keruak, Kampung Pak Sik, Felcra Keruak, Hulu Besut, Besut di Terengganu yang dijadualkan tamat pada 20 April depan, dilanjutkan mulai 21 hingga 27 April.
“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 2,038 ujian saringan dan daripada jumlah tersebut secara kumulatif sebanyak 103 kes positif telah direkodkan.
“KKM melaporkan masih terdapat penularan berterusan dalam kalangan penduduk di kawasan PKPD dan terdapat sebanyak 309 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata 158 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) semalam dengan 131 dikenakan kompaun manakala 27 lagi direman.
“Menerusi Operasi Benteng semalam telah merampas lapan kenderaan darat dan seramai 10 pendatang tanpa izin diusir melalui dua aktiviti pengusiran.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

