HARI ini bermula Fasa 2 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang memberi keutamaan kepada golongan warga emas berumur 60 tahun ke atas.
Turut terlibat dalam fasa ini ialah individu yang mempunyai sejarah penyakit (komorbiditi) dan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Fasa 2 PICK menandakan satu lagi detik penting dalam usaha kerajaan serta rakyat Malaysia berperang dengan COVID-19.
Namun, seperti mana sebelum ini, ada sahaja suara-suara yang cuba memberi gambaran salah mengenai vaksin.
Terbaru berhubung kemampuan vaksin dalam menghindari penerimanya daripada dijangkiti virus.
Ini setelah dilaporkan ada sebilangan kecil petugas barisan hadapan dijangkiti COVID-19 walau telah lengkap dua dos suntikan COVID-19.
Mengulas hal ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menegaskan vaksin COVID-19 telah terbukti berkesan.

Menurut Khairy, kadar kebolehjangkitan COVID-19 dalam kalangan petugas barisan hadapan yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin seperti dilaporkan kelmarin hanya 0.003 peratus.
“Berdasarkan perangkaan semasa, seramai 272,019 petugas barisan hadapan yang sudah menerima dua dos suntikan vaksin dan hanya sembilan daripadanya dijangkiti COVID-19.
“Ini menunjukkan kadar kebolehjangkitan dalam kalangan petugas barisan hadapan yang sudah menerima dua suntikan penuh vaksin ialah 0.003 peratus.
“Malah, daripada apa yang dimaklumkan, sembilan kes ini tidak mengalami sebarang gejala teruk atau ringan apabila disahkan positif COVID-19.
“Ini bermakna vaksin sangat berkesan dalam menangani sebarang gejala dan komplikasi berikutan COVID-19,” katanya.
Khairy berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba selepas Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) hari ini.
Baca artikel berkaitan: 40 barisan hadapan dijangkiti Covid-19 selepas terima vaksin
Kadar jangkitan petugas kesihatan 10 kali ganda lebih rendah selepas Program Vaksin – MOSTI
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Sabtu lalu dilaporkan berkata seramai sembilan petugas kesihatan dikesan dijangkiti COVID-19 selepas menerima dua dos lengkap vaksin dan melepasi tempoh dua minggu, pasca suntikan pelalian.
Selain itu, 31 kes lagi yang juga membabitkan petugas kesihatan disahkan positif COVID-19 selepas mendapat suntikan pelaian dua dos lengkap, kurang daripada dua minggu.
Sementara itu, Khairy menegaskan yang Malaysia tidak ‘lembap’ dalam menjalankan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Menurut Menteri Penyelaras program itu, seramai 701,812 individu telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 setakat ini dan 443,029 individu pula telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka.
Mengenai persoalan ramai pihak mengenai kadar vaksinasi Malaysia yang dikatakan lambat walaupun negara menerima bekalan vaksin COVID-19 secukupnya, beliau berkata kerajaan memahami kegusaran rakyat yang masih menunggu untuk divaksinasi namun mereka perlu menunggu giliran dalam fasa yang ditetapkan.
“Sudah dimaklumkan setiap daripada mereka perlu menunggu giliran dalam fasa yang ditetapkan, seperti fasa pertama untuk barisan petugas hadapan, fasa kedua untuk golongan warga emas dan sebagainya.
“Kita mesti patuh kepada fasa yang telah ditetapkan mengikut kategori masing-masing,” katanya.
Menurut Khairy, program vaksinasi Malaysia yang dijalankan mengikut jadual atau fasa adalah seperti kaedah yang digunakan di luar negara seperti United Kingdom (UK) yang menggunakan jadual umur di negara itu.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

