UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd telah menetapkan saranan “beli” ke atas saham UEM Edgenta Bhd (UEME) dengan unjuran 67 peratus kadar pertumbuhan tahunan kompaun dari tahun 2021 hingga 2023.
Dalam catatan penyelidikannya hari ini, firma itu berkata UEME akan menjadi penerima utama pertumbuhan hasil daripada pembukaan semula ekonomi serta perkembangan industri penjagaan kesihatan.
“Jangkaan ini disokong oleh perolehan nilai kontraknya yang mantap iaitu sebanyak RM12.2 bilion, terutama dari bahagian perkhidmatan kesihatan dan infrastrukturnya, berserta kecekapan operasi melalui integrasi teknologi canggih.
“Pertumbuhan industri penjagaan kesihatan, pemansuhan larangan perjalanan rentas negeri, peningkatan kesedaran terhadap persekitaran dan pelancaran projek infrastruktur akan bertindak sebagai pemangkin untuk terus menyokong keterlihatan pendapatan UEME untuk tempoh tiga hingga lima tahun akan datang,” kata UOB Kay Hian.
Firma penyelidikan itu turut maklum UEME mempunyai prospek pertumbuhan positif, disokong oleh syarikat induknya, UEM Group, yang dimiliki oleh Khazanah Nasional.
“Ini akan menyokong nisbah pembayaran dividen syarikat iaitu 70 peratus yang ia unjur akan berikan antara lima peratus hingga tujuh peratus untuk tahun 2021 hingga 2023, konsisten dengan dasar dividennya,” tambah firma itu.
UOB Kay Hian seterusnya menjangkakan bahawa pembayaran dividen yang tinggi akan disokong oleh kedudukan tunai bersih UEME yang kukuh sebanyak RM206.2 juta dan nisbah gearan kasar 0.32 kali.
“Kami mengekalkan harga sasaran UEME pada RM2.30 sesaham,” katanya.

