Lapan pengawal keselamatan warga Filipina ditahan semasa mereka sedang bertugas di pondok pengawal di Stadium Merdeka, semalam. Foto MEDIA SOSIAL


TINDAKAN sekumpulan pengawal keselamatan warga Filipina menggunakan kad pengenalan atau MyKad palsu sebagai dokumen pengenalan diri mengundang padah apabila mereka ditahan dalam satu operasi di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, semalam.

Dalam Operasi Terancang yang bermula dari pukul 6 petang hingga 8 malam itu, sebanyak lapan lelaki Filipina ditahan tujuh pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kuala Lumpur.

Pengarah JPN Kuala Lumpur, Eris Jemadi Tajudin berkata, operasi yang turut dibantu empat pegawai Unit Khas, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Putrajaya dibuat hasil risikan yang dilakukan oleh Unit Operasi dan Risikan JPN Kuala Lumpur sejak minggu lalu.

Menurutnya, lapan pengawal keselamatan itu ditahan semasa mereka sedang bertugas di pondok pengawal di Stadium Merdeka selepas disyaki menggunakan kad pengenalan palsu sebagai pengenalan diri.

“Semua pengawal keselamatan yang ditahan itu mengaku berketurunan Yakan dan berasal dari Filipina berusia antara 23 hingga 58 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Eris dalam pada itu berkata, siasatan lanjut mendapati pengawal keselamatan itu mendapat kad pengenalan palsu dari ejen di Sabah.

Ujarnya, mereka kemudiannya menyelinap masuk ke Semenanjung untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Berlaku sedikit pergelutan ketika pemeriksaan dilakukan apabila terdapat cubaan melarikan diri.

“Bagaimanapun, kecekapan pasukan serbuan berjaya menggagalkan usaha mereka sebelum pengawal keselamatan itu ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Eris memberitahu, kesemua pengawal keselamatan terbabit akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur esok mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).

“Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya,” katanya.