SEPERTI mana kes harian yang tinggi di Kelantan sejak beberapa hari lalu sehingga pernah mencatat lebih 400 penularan sehari, begitulah juga dengan kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) COVID-19 di negeri itu.
Berdasarkan data terkini yang dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kadar kebolehjangkitan di Kelantan naik kepada 1.44.
Sebagai perbandingan, nilai Rt COVID-19 di Kelantan untuk 20 April adalah 1.43.
Berikutan kes harian yang tinggi, Kelantan kini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sementara itu, Rt di seluruh negara mencatatkan penurunan untuk dua hari berturut-turut meskipun kes harian baharu masih melepasi 2,000 kes.
Jelas Noor Hisham, angka itu turun kepada 1.15 pada semalam berbanding 1.16 hari sebelumnya.
Negeri dan wilayah yang mencatatkan kadar kebolehjangkitan tinggi dan melebihi angka 1.0 selain Kelantan adalah Kuala Lumpur, Melaka, Pahang, Sabah dan Sarawak.
Ini termasuk Johor, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Putrajaya.
Sementara itu, Pulau Pinang, Perak dan Labuan pula antara negeri dan wilayah yang mencatatkan kadar kebolehjangkitan di bawah angka 1.0.
Baca artikel berkaitan: Tiga lagi jajahan di Kelantan dikenakan PKP satu minggu
Genap seminggu kes lebih 2,000, Kelantan masih tiga tertinggi
Setakat ini, kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Januari lalu ialah 0.81 pada 3 Mac.
Yang tertinggi pernah dicatatkan ialah 1.19 pada 17 April lalu.
Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Rabu melaporkan 2,340 kes baharu COVID-19 dikesan.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

