SENARAI penuh Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 akan meliputi lebih 30 barangan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, senarai tambahan itu akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Barangan lain tidak diumumkan lagi kerana tiada tekanan terhadap barangan tersebut.
“Kita mahu berlaku adil terhadap peniaga, kalau umum awal tetapi tiada permintaan ia akan beri masalah kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Amanat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta lawatan ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) hari ini.
KPDNHEP sebelum ini mengumumkan senarai 12 barangan daripada empat kategori, iaitu ayam, telur ayam, daging dan hasil laut di bawah SHMMP Hari Raya Puasa 2021 yang dilaksanakan selama 30 hari bermula 21 April hingga 20 Mei.
Terdapat pemimpin pembangkang sebelum ini sengaja mengelirukan umum denga mendakwa senarai barangan yang dikawal harganya adalah rendah berbanding era Pakatan Harapan (PH).
Sedangkan Alexander ketika mengumumkan SHMMP memaklumkan senarai awal 12 barangan yang dikawal akan bertambah sebelum menjelang Aidilfitri.
Baca artikel berkaitan: Lagi dua hari, harga ayam tak boleh lebih RM7.90 sekilo
Alexander dalam pada itu meminta semua peniaga mematuhi senarai harga barangan yang telah ditetapkan di bawah SHMMP Hari Raya Puasa 2021 bagi mengelak dikenakan tindakan penguatkuasaan.
“Skim ini dilaksanakan di semua peringkat iaitu pengeluar, pemborong dan peruncit.
“Harga ayam dijual dengan harga RM7.10 di peringkat borong dan jika ada yang jual lebih daripada harga tersebut, tindakan akan dikenakan,” jelasnya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

