Beli vaksin guna dana KWAN: Tengku Zafrul jawab tohmahan

Dari Penulis


SELEPAS beberapa hari dijadikan modal politik oleh parti pembangkang dan segelintir pemimpin UMNO, Kementerian Kewangan hari ini tampil menjelaskan mengenai langkah kerajaan menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN).

Pada sidang media khas di Putraya, Menteri Kewanganm Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan, sebanyak RM5 bilion daripada KWAN akan digunakan untuk mempercepatkan pemerolehan vaksin COVID-19.

“Penggunaan dana KWAN hanya dihadkan untuk memperoleh vaksin, dan bukan untuk tujuan lain yang tidak dinyatakan dibawa undang-undang. Anggaran RM5 bilion untuk pemerolehan vaksin hanyalah menggunakan pelaburan yang dijana (RM9.1 bilion) tetapi jumlah pokok sumbangan RM10.4 bilion masih kekal dan tidak digunakan,” katanya.

Mengenai dakwaan bahawa kerajaan tidak boleh menggunakan dana KWAN, Tengku Zafrul menjelaskan;

‘’Di bawah Seksyen 6, Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988 (Akta 339) membenarkan dana KWAN digunakan selepas tempoh 10 tahun bagi tujuan perbelanjaan pembangunan dan membiayai pinjaman mudah kepada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.’’

Beliau berkata, KWAN memiliki dana RM19.5 bilion setakat 31 Disember 2020, merangkumi sumbangan Petronas sebanyak RM10.4 bilion dan baki RM9.1 bilion dari pulangan pelaburan terkumpul.

Pada 21 April lepas, kerajaan telah meluluskan pindaan ke atas Akta 339 yang membolehkan dana daripada KWAN digunakan bagi tujuan pemerolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan berhubung vaksin, melalui pewartaan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021.

Tengku Zafrul berkata ia bertujuan mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan agar dapat mencapai imunisasi kelompok secepat mungkin pada hujung tahun ini berbanding sasaran asal pada Feb 2022.

Beliau berkata penggunaan dana KWAN bukanlah kali pertama digunakan kerajaan kerana sebelum ini dana yang sama berjumlah RM42 juta digunakan bagi projek Paya Indah Wetlands.

“Tujuan KWAN ditubuhkan adalah untuk memastikan penggunaan optimum hasil sumber-sumber asli negara yang stabil untuk faedah negara dan generasi akan datang. Kitalah merupakan masa depan yang dimaksudkan semasa dana ini ditubuhkan. Kalau kita tidak boleh guna dana KWAN, sampai bila-bila pun generasi akan datang tidak boleh menggunakannya,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kerajaan tanggung RM3.5 bilion kekalkan harga petrol, diesel minggu ini

HARGA runcit petrol dan diesel bagi minggu ini kekal tanpa sebarang perubahan meskipun kerajaan masih menanggung subsidi bahan api...

More Articles Like This