halalphobia cetusan barat

Perkataan Islamphobia memang mudah kita temui. Buku-buku tentangnya diterbitkan dalam banyak bahasa terutama di sebelah negara barat.

Perkataan phobia atau fobia dihubungkan dengan Islam secara terang-terangan. Sekali gus bercanggah dengan makna Islam itu sendiri iaitu sejahtera, selamat dan keamanan.

Tetapi, kerana kebencian dan ketakutan serta kebimbangan yang datang hasil tindak balas dari orang Islam setelah mereka diganasi, tercetuslah perkataan Islamphobia. Boleh dikatakan kemuncak Islamphobia bermula ekoran tragedi 911 setelah runtuhnya New York World Trade Centre (NYWTC).

Selepas itu, orang Islam dan syariah sering kali dilihat ganas, keras, kasar, tidak bertamadun dan meremehkan kemanusiaan. Barangan halal dan jenama halal yang sudah tentulah bersumberkan syariah di dalam Islam terseret sama dalam kancah fobia. Yang ingin diperkatakan dalam tulisan ini bukanlah Islamphobia, tetapi tentang halal fobia secara khusus.

Ketakutan terhadap Islam dicetuskan dengan gambaran Islam ganas

Buat pertama kali, di Perancis kita dengar tentang halal fobia apabila ia dibicarakan di pentas politik.  Seorang ahli politik Perancis pernah mengeksploitasikan makanan segera yang bersumberkan daging halal dan dikaitkan dengan proses Islamisasi masyarakat bukan Islam.

Ahli politik berkenaan memberi amaran, penggunaan daging halal dalam rantaian makanan segera dianggap sesuatu yang bahaya kerana sesiapa yang memakannya akan menjadi Muslim. Kekeliruan ini cuba dijawab oleh masyarakat Islam di Perancis secara logik lagi mudah.

Jawapan yang dihujahkan kembali, ramai yang makan Kosher di Amerika Syarikat tetapi mereka tidak menjadi Yahudi. Samalah juga mereka yang makan makanan vegetarian, tidak menjadi Buddha atau Hindu.

Nampaknya kewarasan hilang apabila terlalu taasub berfikir demi kepentingan politik. Akibatnya perkara mudah menjadi rumit dan mencetuskan kebimbangan. Sentimen seperti ini tidak pernah timbul di rantau ini. 

Bukan Islam berlumba mengeluarkan produk jenama muslim bagi mengelirukan pengguna muslim

Sebaliknya, orang bukan Islam berusaha menumpang kekayaan melalui penggunaan jenama halal orang Islam pada barangan mereka. Hakikatnya, halal itu merupakan harta intelek orang Islam.

Mana-mana pihak yang masih melihat halal sebagai suatu halangan di dalam masyarakat multi etnik dan agama, sebenarnya berada di bawah serkup tempurung sempit di zaman purba lama. Mereka bukan berada di zaman IT.

Ini kerana syarikat-syarikat antarabangsa tanpa mengira agama merasa rugi sekiranya barangan mereka tidak membawa identiti halal.   

Di Malaysia, ia dilihat sebagai fenomena keajaiban apabila berpusu-pusu syarikat yang dimiliki bukan Islam memohon sijil halal. Bermula dari sekecil-kecil syarikat sehinggalah syarikat bertaraf gergasi dunia.

Bahkan syarikat-syarikat pemohon akan marah sekiranya proses mendapat sijil halal lambat akibat beberapa syarat yang masih belum dipenuhi.

Tidak ada sebarang undang-undang yang memaksa menggunakan logo halal dan mereka sebagai pengeluar berhak memilih untuk tidak menggunakan apa-apa perbahasaan halal.

Hatta selepas pindaan Akta Perihal Dagangan (APD) 2011, secara terang-terangan menunjukkan ia hanya pilihan kepada pengeluar yang ingin memohon sijil halal secara sukarela.

Tetapi sekiranya mereka memilih menggunakan persijilan halal, sudah tentulah akan terikat dengan undang-undang berkaitan dengannya. Jika tidak patuh, hukuman dendanya agak tinggi demi menjamin perjalanan perniagaan yang telus.

Keperluan tanpa rasis

Dalam soal ini, langsung tiada unsur fobia di kalangan bukan Islam pula. Sebaliknya mereka sangat-sangat memerlukan kemahiran orang Islam untuk mengesahkan barangan halal dan selamat digunakan untuk memacu pasaran antarabangsa dan tempatan.

Tuduhan jahat yang mengaitkan fobia ke atas produk halal, hanya perlakuan rasis Eropah terhadap masyarakat Islam.

Sekiranya negara berkenaan menjadikan dasar negara yang menyekat aktiviti ekonomi masyarakat Islam disebabkan barangan halal, tekanan ini menunjukkan kebebasan agama, demokrasi, fikiran terbuka dan dakwaan memperjuangkan hak asasi manusia yang didendangkan selama ini hanya suatu pembohongan.       

Pada sudut yang lain, darjah fobia orang Melayu terhadap halal lagi tinggi, mengatasi orang Perancis. Bezanya telah menjadi akar budaya orang Melayu yang begitu fobia terhadap sesuatu yang bersumberkan babi serta sensitif dengan isu halal-haram.

Kecuakan ini mengatasi orang Arab, sungguhpun orang Arab majoritinya Muslim dan Nabi Muhammad diutus di kalangan bangsa mereka.

Sayangnya, kebanyakan orang Arab tidak mengambil kesah tentang halal-haram kerana hidup dalam masyarakat majoritinya Muslim. Sikap ini terbawa-bawa sekalipun bermusafir ke luar negara khususnya ke negara bukan Islam.

Bagi mereka, cukuplah membaca “Basmalah” tanpa perlu memikirkan menu makanan yang dipilih. Bahkan bacaan basmalah menjadi password penting untuk menghalalkan segalanya. Malangnya, negara kaya itu terlalu sukar mengaitkan kalimah halal dengan industri pengeluaran hari ini.

Tanpa kesedaran itu, sistem pensijilan halal tidak bermula dari negara-negara Arab sekalipun banyak barangan yang masuk ke negara itu datang dari negara-negara bukan Islam, sama ada makanan siap atau separuh siap.

Berbeza di kalangan masyarakat Melayu Malaysia, mereka adalah golongan majoriti tetapi bukan masyarakat pengeluar. Sebaliknya hanya sebagai pengguna. Namun, sebagai pengguna Muslim, perasaan syak yang tinggi wujud terutama terhadap barangan di pasaran terutamanya makanan yang dijual oleh orang bukan Islam.

Sudah menjadi hak mereka bagi setiap yang dikatakan halal semestinya halal berdasarkan kehendak syariah. Persoalan yang sering kali bermain di minda mereka ialah, sejauh mana pengeluar bukan Islam boleh memahami syariah.

Jika mereka faham, apakah mereka sebenarnya-sebenarnya memenuhi tuntutan syariah tersebut seperti seorang Islam? Jawapannya tentulah tidak.

Bagi pengeluar dalam dunia kapitalis, ia hanya berobjektifkan komersial. Pekerja Islam biasa seperti QA/QC atau Eksekutif Halal (EH) yang bukan khusus dalam pengajian Islam belum pasti boleh merungkaikan keraguan orang Islam terhadap barangan halal yang berlegar di pasaran. Sebab itulah isu-isu halal masih tiada penghujung. Wallahu a’lam

Oleh: LOKMAN AB. RAHMAN,  Jab. Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

______________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram