KERAJAAN bersetuju untuk melakukan sekatan sementara penerbangan keluar masuk dari India berkuat kuasa Rabu ini bagi mencegah kemasukan varian baharu daripada menular ke dalam negara.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mana-mana pengembara yang memulakan perjalanan dari mana-mana destinasi di India sama ada menaiki penerbangan terus atau transit ke Malaysia adalah dilarang memasuki negara ini.
Beliau berkata, larangan berkenaan turut terpakai bagi penumpang yang transit di Malaysia untuk ke negara ketiga.
Walau bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, pengecualian hanya akan diberikan kepada warganegara Malaysia sahaja.
“Warganegara Malaysia sama ada pelajar dan pekerja, pasangan serta anak kepada warganegara Malaysia yang tinggal di India dan kumpulan keagamaan yang berada di negara itu dibenarkan memasuki Malaysia dengan prosedur kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin yang diwartakan.
“Bukan warganegara yang merupakan pasangan kepada warganegara Malaysia juga dibenarkan memasuki negara ini dengan prosedur kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin yang diwartakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Gagal rekod butiran kesalahan tertinggi ingkar SOP
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kapal terbang yang mempunyai sejarah perjalanan dari India dalam tempoh 14 hari turut tidak dibenarkan melakukan prosedur sign off di Malaysia kecuali kru warganegara ini yang hanya wajib menjalani perintah kuarantin 14 hari.
“Sekatan sementara kemasukan pekerja asing dari India yang merupakan pemegang pas lawatan kerja sementara (PLKS) yang masih laku juga akan dilaksanakan.
“Ia juga termasuk sekatan sementara terhadap kemasukan pelajar antarabangsa warganegara India dan pelawat perniagaan antarabangsa,” jelas beliau.
Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan pembinaan Empangan Hidroelektrik Baleh, Kapit, Sarawak.
Menurut Ismail Sabri, sehingga kini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah merekodkan sebanyak 243 kes positif COVID-19 dengan jumlah tersebut naik mendadak dalam tempoh seminggu hasil saringan dilakukan ke atas pekerja empangan tersebut.
Melihat kepada situasi itu, kata Ismail Sabri, KKM mengesahkan masih terdapat risiko kebolehjangkitan yang tinggi di kawasan pembinaan Empangan Baleh kerana masih ramai pekerja yang belum disaring.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di kawasan pembinaan Empangan Baleh berkuat kuasa 27 April sehingga 26 Mei 2021.
“Pelaksanaan PKPD ini adalah untuk memudahkan KKM melakukan pengesan awal kes serta mengelak penularan ke komuniti berdekatan,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

