Oleh : DATUK SAIFUL BAHAR ARSHAD
Kaji selidik Invoke Malaysia iaitu sebuah NGO profesional menunjukkan beberapa dapatan (findings) yang ‘sungguh luar biasa’.
Kaji selidik ke atas 7,860 pengundi berdaftar di seluruh negara dari 18 Disember 2020 hingga 21 Februari 2021, memperlihatkan beberapa stastistik menarik dan penting untuk parti-parti.
Pertama, lebih ramai Rakyat pengundi negara ini mengambil pendekatan – tunggu dan lihat terhadap perkembangan politik tanah air, sebelum mereka membuat keputusan parti mana mahu disokong.
Berikut soalan dan hasil kajiselidik tersebut;
*Sekiranya Parlimen bubar, pilihan raya umum diadakan, parti mana anda akan sokong ?
DISEMBER. 2020 :
Perikatan Nasional -PN (16%), BN (16%),PH (5%), Pas (4%), Tidak Pasti (37 peratus), Tidak Mahu Beri Jawapan (21 peratus).
JANUARI 2021
PN (19%), BN (7%), PH (4%), Pas (3%) Tidak Pasti Undi Siapa (48%), Tidak Mahu Beri Jawapan (19%).
FEBRUARI 2021 :
PN (16%), BN (8%), PH (3%), Pas (4%), Tidak pasti Undi Siapa (51%), Tidak Mahu
Beri Jawapan (17%).
Jumlah pengundi atas pagar (kumpulan tunggu dan lihat) meningkat begitu tinggi dari 37% pada Disember 2020 kepada 51% pada Februari lalu. Approval Rating BN/UMNO jatuh dari 16% (Disember 2020) kepada hanya 8% pada Februari 2021.

Populariti UMNO/BN jatuh teruk sebanyak 8% berkemungkinan disebabkan rakyat melihat UMNO kini mempunyai krisis kepimpinan selain tiada hala tuju yang benar-benar boleh diterima atau diyakini pengundi.
Turut memberi kesan kepada populariti UMNO ialah langkah untuk menarik daripada Kerajaan PN apabila Darurat berakhir pada 1 Ogros ini dan jajaran baharu yang dinyatakan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi.
Jajaran baharu itu mewujudkan persoalan dalam kalangan rakyat dan pengundi yang mahu tahu jika UMNO dan BN tidak mahu bekerjasama dengan PN, adakah ini bererti UMNO/BN akan bekerjasama dengan PH, DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim?
Pengundi mengharapkan, Presiden UMNO menjawab soalan itu sebelum pilihan raya umum bukannya selepas PRU. Rakyat tidak mahu UMNO menentukan rakan jajaran baharu setelah melihat hasil pilihan raya tersebut.
Sekiranya UMNO/BN memilih PH, PKR, DAP dan Anwar Ibrahim, kemungkinan sokongan daripada 51% pengundi atas pagar akan bertukar arah menyokong parti lain.
*Sekiranya Parlimen akan dibubarkan dalam waktu terdekat ini. Adakah anda akan keluar mengundi ?
FEBRUARI 2021:
Sedia mengundi ikut kaum; Melayu (66%), Cina (60%), India (72%).
Seramai 69% orang Melayu berpuas hati dengan prestasi Kerajaan PN pada Februari 2021. Berbanding dengan 73% peratus pada bulan Disember 2020.
Ini bermakna penurunan sebanyak 6% peratus.
PH kelihatan tidak membuat sebarang in-road ataupun recovery semenjak hilang kuasa pada Februari 2020. Naratif bahawa PH hilang kuasa kepada PN bukan melalui pilihan raya umum tetapi melalui pintu belakang tidak mendapat simpati daripada pengundi luar bandar mahupun bandar.
Hasil kaji selidik Februari 2021 berhubung sokongan rakyat terhadap parti juga menunjukkan 17 peratus responden yang ‘Tidak Mahu Beri Jawapan’ cenderung kepada PH berbanding PN.
Oleh yang demikian, PH sebenarnya mempunyai sokongan sebanyak 20 peratus pengundi berbanding PN (16%) dan UMNO/BN (8%). Bagaimanapun jika PN dan BN bergabung, mereka akan meraih tahap sokongan 24% iaitu 4% melebihi PH.
*Kebimbangan orang Melayu
Kebimbangan orang Melayu ialah ke arah mana sokongan pengundi atas pagar yang berjumlah 51% memandangkan ia satu jumlah amat besar.
Kebanyakan daripada jumlah itu adalah pengundi Melayu dan sedikit pengundi India manakala pengundi Cina kebanyakan sudah membuat keputusan.
- Penulis adalah penganalisis politik. Artikel ini adalah pandangan peirbadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian UtusanTV.

