membaca al-quran banjir pahala

Bulan Ramadan bukan sahaja disebut sebagai bulan puasa tetapi turut dikenali dengan bulan al-Quran. Kenapa disebut bulan al-Quran?

Itu kerana pada bulan inilah al-Quran diturunkan dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia secara sekaligus (30 juzuk). Kemudian disampaikan pula oleh Malaikat Jibril kepada Baginda s.a.w. secara beransur-ansur mengikut suasana dan keperluan.

Sesungguhnya Kami (Allah) telah menurunkan al-Quran pada malam al-Qadar.” – surah al-Qadar: 1

Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkahi.” – surah ad-Dukhon: 3

Setiap kali tiba bulan Ramadan, Baginda s.a.w. juga menjadikan bulan tersebut sebagai bulan tadarus beliau bersama malaikat Jibril. Ibnu Abbas r.a. berkata,

“Nabi s.a.w. adalah orang yang paling gemar memberi. Semangat beliau dalam memberi lebih membara lagi ketika bulan Ramadan tatkala itu Jibril menemui beliau. Jibril menemui beliau setiap malamnya di bulan Ramadan. Jibril mengajarkan al-Quran di kala itu. Dan Baginda adalah yang paling semangat dalam melakukan kebaikan bagai angin yang bertiup.” – HR Bukhari

Salafus soleh rahimahullah mengatakan, hadis ini menunjukkan bahawa umat Islam digalakkan untuk mempelajari al-Quran pada bulan Ramadan dan berkumpul untuk mempelajarinya seperti bertadarus.

Amalan membaca al-Quran adalah sebaik-baik amalan

Malah para ulama terdahulu, apabila tiba bulan Ramadan mereka turut bersemangat untuk mengkhatamkan al-Quran seperti Imam Hanafi yang mengkhatamkan al-Quran sebanyak 61 kali dalam sebulan Ramadan. Beliau khatam sekali pada siang hari, sekali pada malam hari dan sekali saat solat tarawih.

Hal serupa juga dilakukan oleh Imam Syafie yang mengkhatamkan al-Quran 2 kali setiap hari di sepanjang bulan Ramadan. Dan diikuti oleh ramai para ulama. Tujuannya tidak lain untuk mendapat keberkahan Ramadan.

Banjir pahala

Inilah satu-satunya amalan yang banjir dengan pahala. Setiap satu huruf yang dibaca diberi ganjaran pahala kebaikan yang berlimpah ruah. Dari Abdullah bin Mas’ud r.a. bersabda Baginda s.a.w.

“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka baginya satu kebaikan. Satu kebaikan menyamai 10 gandaan. Tidaklah aku katakan yang alif lam mim itu satu huruf. Bahkan alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.” – HR Tirmizi

Lihatlah betapa pemurahnya Allah S.W.T. Untuk satu huruf pun Allah kira dan berikan 10 ganda pahala. Itu ketika di bulan-bulan biasa.  Jadi apalagi jika berjaya mengkhatamnya setiap hari sebanyak dua atau tiga kali di bulan Ramadan.

Bukan banjir lagi dah ni, tapi sudah sebesar lautan yang tidak berpenghujung rasanya. Berganda-ganda pahala yang diperoleh. Sepertinya Ramadan adalah bonus berganda-ganda bagi umat Islam dalam melaksanakan apa jua ibadah kepada-Nya termasuklah membaca al-Quran.

Dan kalaulah dengan keizinan Nya, Allah tunjukan di depan mata seluas mana lautan pahala dari bacaan al-Quran itu, sudah sepastinya semua orang tidak ada masa untuk membuat amalan lain selain hanya tertumpu kepada membaca al-Quran.

membaca al-Quran peroleh pahala seluas lautan

Cukup anda bayangkan hanya bacaan basmalah sahaja pun sudah mengandungi lebih kurang 20 aksara huruf. Agaknya berapa ratus ribu huruf jika 30 juzuk kesemunya. Didarabkan pula dengan 10. Subhanallah!

Itu hanyalah pengiraan melibatkan huruf, belum lagi ditambah dengan keikhlasan membacanya, kefahaman mentadabbur malah dalam sebuah hadis Baginda s.a.w. juga menyebutkan bagi mereka yang kurang mahir membaca al-Quran akan beroleh dua pahala.

Sabda Baginda s.a.w.

Adapun orang yang membaca al-Quran dalam keadaan gagap, tersangkut dan merasa sukar Ketika membacanya, baginya dua pahala.” – HR Bukhari & Muslim

Itulah keistimewaan bagi pembaca al-Quran. Lebih elok dan disyorkan jika ia dibaca pada malam hari kerana ketika itu kita sudah bebas dari kesibukan dunia. Malah ia akan lebih memberi kesan pada hati.  Firman Allah surah al-Muzammil: 6

“Sesungguhnya di waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan pada waktu itu lebih berkesan.”

Semoga dengan ganjaran kelebihan dan keistimewaan yang Allah berikan kepada pembaca al-Quran menjadi pencetus semangat dan motivasi untuk kita istiqamah membaca al-Quran terutama sepanjang Ramadan ini.   

Jadikanlah bulan Ramadan ini sebagai bulan al-Quran sepertimana yang dilakukan oleh Baginda s.a.w. kerana al-Quran bukan sahaja memberi manfaat dan rahmat kepada pembacanya malah turut meliputi seluruh alam. Salam Nuzul al-Quran

______________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram