Salah satu malaikat bernama Israfil mempunyai tugas untuk meniupkan ‘Sur’ pada saat hari kiamat nanti. Alat ini diterjemahkan dalam bahasa Melayu sebagai ‘sangkakala’.
Allah S.W.T telah membuat sangkakala dan meletakkannya di mulut Israfil. Dikisahkan bahawa Israfil sering menatap ke arah Arasy, menanti saat diperintahkan untuk meniup sangkakala itu.
Sangkakala atau disebut dalam bahasa Arab ‘ash-shur’ yang secara etimologi bermaksud tanduk, akan ditiup oleh malaikat Israfil apabila berlakunya hari kiamat nanti. Dimanakah ia berada?
Sekitar tahun 2005, sekumpulan ilmuwan yang diketuai oleh Profesor Frank Steiner dari University of Ulm, Jerman, menemui sesuatu yang mengejutkan di alam semesta. Selama ini, ramai berpendapat bahawa alam semesta adalah berbentuk bulat bundar, mendatar, tidak terbatas bahkan tidak berpenghujung.
Namun, dengan menggunakan Wilkinson Microwave Anisotropy Probe (WMAP) – alat untuk melihat kosmologi secara keseluruhan, mereka menemui bahawasanya alam semesta adalah seperti bentuk tanduk atau corong di mana hujungnya semakin mengecil.
Mereka mengamati bahawa bahagian hujung belakang wilayah corong itu merupakan alam semesta yang tidak boleh diamati (unobservable). Manakala di bahagian depan corong pula, iaitu tempat di mana terletaknya Bumi dan seluruh sistem tatasuria dipercayai alam semesta yang masih boleh dilihat (observable).

Penemuan ini telah membantu ramai saintis dalam menjawab beberapa soalan penting tentang sejarah masa, ruang dan segala sesuatu di alam semesta.
Jika bercerita tentang sangkakala yang berkaitan dengan jenis tanduk, saiz dan di mana letaknya, ia merupakan sesuatu yang bersifat ghaib. Maka, sesuatu yang tidak dapat dilihat dan tersembunyi sifatnya memerlukan dalil. Dalil itu pula haruslah sahih kerana di atasnya kita membina keimanan dan kepercayaan.
Dalam hal ini, Nabi Muhammad s.a.w pernah ditanya seperti mana dalam hadis yang diriwayatkan Al-Tarmizi daripada Abdullah bin Amr berkata: Datang seorang Badwi bertanya kepada Nabi, “Apakah itu sangkakala?” Nabi menjawab, “Sangkakala itu seperti tanduk yang ditiup padanya.”
Sebahagian ahli ulama seperti mana yang disebutkan oleh Ibnu Hajar dalam Fathul Bari berkata: Peniup sangkakala itu ialah malaikat Israfil sebagai menandakan permulaan kehancuran yang hebat.
Dalam kitab Al-Mustadrak, terdapat sebuah hadis riwayat Abu Hurairah r.a bahawasanya, Nabi pernah menggambarkan bagaimana keadaan Israfil itu. Baginda bersabda: “Sesungguhnya mata malaikat peniup sangkakala selalu melihat ke Arasy tanpa berkedip. Bersiap siaga sejak hari diserahkan tugasnya, kerana dia takut ketika diperintah, dia sedang berkedip dan leka. Kedua matanya bagaikan dua bintang yang sangat terang.”
Al-Quran juga jelas menggambarkan tiada sesuatu pun yang mengetahui bila kiamat itu akan terjadi, sedangkan ia berlaku tatkala manusia sedang sibuk melayan urusan dunia.
Adapun sebagai peringatan kepada manusia, Nabi bersabda, “Tidak akan terjadi hari kiamat kecuali pada hari Jumaat.”

Atas perintah Allah, maka sangkakala akan ditiup oleh malaikat Israfil. Para ulama bersepakat mengatakan bahawa tiupan sangkakala itu berlaku sebanyak dua kali. Tiupan pertama dipanggil kehancuran dan tiupan kedua ialah kebangkitan.
“Dan ditiuplah sangkakala, maka matilah siapa yang di langit dan di bumi kecuali siapa yang dikehendaki Allah. Kemudian ditiup sangkakala itu sekali lagi, maka tiba-tiba mereka berdiri menunggu keputusannya masing-masing.” (Surah Az-Zumar, ayat 68)
Daripada hadis Sahih Muslim, Nabi bersabda: “Yang mula-mula mendengar tiupan itu ialah lelaki yang sedang membuat takungan air untanya. Ketika dia sedang sibuk bekerja dan sangkakala ditiup, tengkuknya akan terbengkok.”
Jarak tiupan pertama dan kedua juga tidak diketahui dengan tepat.
Adapun diriwayatkan dalam hadis Bukhari Muslim, Abu Hurairah r.a berkata: “Jarak antara dua tiupan itu 40.” Anak buahnya bertanya, “Wahai Abu Hurairah, apakah ia 40 hari?” Abu Hurairah menjawab, “Aku enggan menjawab.” Mereka bertanya lagi, “Apakah ia 40 bulan.” Dia menjawab, “Aku enggan menjawab.” Mereka bertanya lagi, “Apakah ia 40 tahun.” Dia berkata, “Aku enggan menjawab.”
Kemudian, selepas berlaku tiupan pertama, Allah menurun hujan. Nabi bersabda: “Lalu Allah menurunkan hujan, sehingga mayat-mayat tumbuh (bangkit) seperti tumbuhnya tanaman sayuran. Tidak ada satu bagian tubuh manusia kecuali semua telah hancur selain satu tulang, iaitu tulang ekornya (koksiks) dan dari tulang itulah jasad manusia akan disusun kembali pada hari kiamat.” (Hadis Riwayat Sahih Muslim).
Bagaimana Allah menjadikan bunyi daripada tiupan sangkakala sehingga boleh menyebabkan kehancuran dan kematian telah dikaji oleh saintis.
Ilmuwan mendapati tatkala bunyi suara sampai ke 120 desibel, pada masa itu telinga kita akan berasa sakit. Kemudian, apabila sampai ke 150 desibel, ia akan menyebabkan gegaran dalam jantung dan sukar untuk bernafas. Sampai ke tahap 200 desibel pula, ia boleh mengakibatkan paru-paru pecah. Dan sekiranya bunyi melebihi daripada itu, otak akan hancur lalu menyebabkan kematian.
“Wahai Ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad s.a.w) dengan menerangkan kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum-hukum) yang telah kamu sembunyikan dari Kitab Suci dan Dia memaafkan kamu (dengan tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya. (Al Maidah : 15)
____________
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram.

