Pada 26 Januari 1972, sebuah pesawat penerbangan Yugoslavia, DC-9-32 telah berangkat dari Belgrade ke Copenhagen, Denmark dengan membawa 28 penumpang dan kru kapal.
Ketika mencapai ketinggian 33,000 kaki, secara tiba-tiba pesawat itu meletup dan terhempas di kawasan pergunungan. Kesemua yang ada dalam pesawat berkenaan terbunuh, kecuali seorang wanita bernama Vesna Vulovic.
Laporan awal siasatan menyatakan letupan itu berpunca daripada bom buatan tangan yang telah diletakkan di ruang bagasi pesawat. Impak daripada letupan itu telah menyebabkan badan pesawat terbelah dua sebelum terhempas.

Pesawat itu terhempas dari ketinggian 33,000 kaki dan musnah secara total. Cebisan-cebisan mayat kelihatan bertebaran di merata tempat. Bagaimanapun, satu keajaiban berlaku apabila pasukan penyelamat telah menemui Vesna Vulovic dalam keadaan yang masih bernyawa.
Vesna yang ketika itu berusia 22 tahun adalah pramugari di dalam pesawat tersebut. Beliau sepatutnya tidak menaiki penerbangan itu, namun disebabkan kesilapan teknikal, dia terpaksa menggantikan seorang lagi kru wanita lain yang juga bernama Vesna. Lebih mengerikan, ia adalah penerbangan pertama buat gadis muda ini sebagai seorang pramugari.

Walaupun selamat, tengkoraknya retak. Manakala kedua-dua belah kaki dan tulang belakangnya pula patah pada beberapa bahagian. Tragedi itu menyebabkan Vesna koma selama 27 hari. Separuh daripada tubuhnya iaitu dari pinggang ke kaki pula didapati lumpuh.
Vesna terpaksa menjalani rawatan selama beberapa bulan di hospital. Pasukan perubatan turut melakukan beberapa siri pembedahan bagi membolehkan kedua-dua belah kakinya berfungsi semula.

Menurut Vesna, dia bertuah kerana masih mampu hidup setelah jatuh daripada ketinggian 33,000 kaki. Ketika kejadian tersebut berlaku, hanya dia seorang sahaja yang berada di bahagian ekor pesawat. Mungkin disebabkan itu dia terselamat.
Selepas kejadian itu, nama Vesna menjadi sebutan di kalangan penduduk Yugoslavia. Dia turut dianugerahkan pingat kebesaran daripada pemerintah Yugoslavia dan namanya turut tercatat dalam buku ‘Guinness Book of Record’ sebagai manusia yang masih hidup selepas terjatuh pada ketinggian yang paling tinggi.
Setelah pulih, Vesna masih meneruskan kerjayanya sebagai seorang pramugari. Dia tidak trauma dan masih berani untuk terus terbang di awan biru.
Namun, ketika usianya mencecah 40 tahun, perkhidmatannya telah ditamatkan selepas beliau didapati terlibat dalam demonstrasi anti kerajaan sekitar awal tahun 1990-an.
Vesna kemudian aktif menentang pandangan radikal pemerintah Yugoslavia ketika itu, Slobodan Milosevic. Selepas dipecat, beliau kemudiannya aktif sebagai aktivitis pihak pro-demokrasi.

Vesna meninggal pada 23 Disember 2016 ketika berusia 66 tahun kerana masalah jantung. Mayatnya ditemui di dalam rumah setelah seorang tukang kunci memecahkan pintu rumahnya, atas arahan seorang rakan yang risau apabila Vesna tidak lagi menjawab panggilan telefonnya.
__________
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram.

