Katil ICU COVID-19 hampir penuh, pembedahan elektif dikurang

0
399
Ambulans berbaris di luar jabatan kecemasan Hospital Sungai Buloh untuk memindahkan pesakit ke Zon Kuning dan Zon Merah (Resusitasi). Ambulans tiba dari pelbagai Pusat Penilaian COVID-19 di Selangor, PKRC MAEPS dan hospital-hospital lain di Lembah Klang yang menghantar pesakit Kategori 4 dan Kategori 5 mereka./ Gambar FB KP Kesihatan

KADAR penggunaan katil rawatan kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) COVID-19 di Lembah Klang secara puratanya telah mencapai 90 peratus setakat pagi ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkara ini berdasarkan statistik yang dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC).

Katanya, enam hospital terlibat mempunyai katil rawatan kritikal/ICU dikhususkan untuk merawat pesakit COVID-19 tetapi kini telah melebihi ambang amaran kadar penggunaan katil melebihi 70 peratus.

Hospital berkenaan adalah Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, dengan ada antaranya telah pun menghampiri 100 peratus.

“Pusat Perubatan Universiti Malaya pula melaporkan penggunaan katil rawatan kritikal/ICU COVID-19 pada kadar melebihi 50 peratus,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasminya hari ini.

Katanya sehubungan itu, pembedahan dan prosedur elektif di hospital sekitar Lembah Klang akan dikurangkan atau ditangguhkan bagi membolehkan lebih banyak katil hospital dikhususkan untuk rawatan COVID-19.

“Ini juga membolehkan anggota perubatan dimobilisasikan ke tempat-tempat yang lebih kritikal bagi perawatan pesakit COVID-19.

“KKM (Kementerian Kesihatan) juga akan terus bekerjasama dengan hospital-hospital swasta, pengajar atau universiti di sekitar Lembah Klang bagi meningkatkan kapasiti katil-katil kritikal,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Situasi COVID-19 kembali meruncing, 2,881 kes terbaharu – Noor Hisham

Dr Noor Hisham menyatakan kerjasama itu termasuk penyumberluaran pesakit bukan COVID-19 bagi kes dan prosedur tertentu untuk dirawat di hospital swasta dengan kos ditanggung kerajaan pada caj rawatan yang dipersetujui.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Hospital Sungai Buloh yang beroperasi sepenuhnya sebagai hospital COVID-19 akan meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal secara berfasa bagi memenuhi keperluan yang meningkat.

Menurutnya KKM telah membuat perolehan peralatan perubatan seperti ventilator sejak tahun lepas bagi membolehkan Hospital Sungai Buloh meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal apabila terdapat keperluan mendesak.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram