PENDEDAHAN yang dilakukan Tan Sri Abdul Hamid Bador sewaktu sidang akhbar terakhirnya sebagai Ketua Polis Negara, Jumaat lalu sememangnya mengejutkan ramai pihak.
Dakwaan Abdul Hamid berhubung campur tangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam pelantikan pegawai-pegawai polis dan amalan melompat parti berlaku secara berleluasa telah menerima pelbagai reaksi umum yang kebanyakannya berasa marah dengan kejadian sedemikian.
Terbaharu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Jingga 13 mengambil langkah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya siasatan dapat dijalankan berhubung dakwaan berkenaan.
Menurut Setiausaha Agung Jingga 13, Afzainizam Rahman, pihaknya juga menggesa supaya SPRM segera menyiasat secara terperinci kerana ia melibatkan isu rasuah dan salah guna kuasa serta memperalat agensi penguatkuasaan negara bagi kepentingan diri dan politik.
Pada masa sama, Jingga 13 turut mendesak supaya siasatan dilakukan terhadap Hamzah yang dilihat mencampuri pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Perkara sebegini boleh mengancam doktrin pengasingan kuasa dan semak imbang yang diamalkan negara kita.
“PDRM seharusnya bersifat bebas daripada campur tangan politik dengan tindakan sebegini boleh merobek institusi PDRM dan mengundang keresahan rakyat.
“SPRM juga perlu segera menyiasat dan mengambil tindakan terhadap salah laku rasuah ahli-ahli politik berhubung dakwaan ‘katak’ yang melompat ke sana sini,” katanya ketika mengadakan sidang akhbar di hadapan Pejabat SPRM Shah Alam, hari ini.
Abdul Hamid yang dikenali sebagai seorang pegawai kanan polis berintegriti telah membidas campur tangan Hamzah dalam pelantikan pegawai-pegawai polis dalam sidang akhbar terakhirnya sebagai Ketua Polis Negara, Jumaat lalu.
Beliau turut menggesa SPRM supaya menyiasat amalan melompat parti yang berlaku secara berleluasa.
Abdul Hamid, 62, yang menggalas jawatan selaku Ketua Polis Negara Ke-12 selama dua tahun menamatkan perkhidmatan hari ini dan digantikan Timbalannya, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.
Majlis serah terima tugas kepada Acryl Sani, 59, telah disaksikan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said di Bukit Aman, hari ini.

