Kisah 1
SEORANG ibu tunggal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Melaka hari ini atas 19 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram berjumlah RM962,845.21 tujuh tahun lalu.
Tertuduh, Loo Mei Lin, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang merupakan ahli perniagaan didakwa menggunakan satu nombor akaun sebagai peralatan kesalahan berkaitan aktiviti haram.
Bernama.com melaporkan dalam pertuduhan kedua hingga ketujuh, tertuduh didakwa menerima wang dengan jumlah keseluruhan RM962,845.21 yang merupakan hasil aktiviti haram melalui akaun miliknya daripada mangsa, Teh Eet Meng, 55.
Bagi pertuduhan kelapan hingga 19 pula, tertuduh didakwa telah menggunakan wang berjumlah keseluruhan RM273,255.84 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, bagi membayar kad kredit OCBC Bank, Public Bank, RHB Bank dan HSBC Amanah Malaysia Berhad miliknya serta membeli polisi-polisi insurans atas nama ahli keluarga.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah pada 29 Dis 2014 hingga 30 Julai 2015 dan dikemukakan menurut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Zainal mencadangkan jaminan sebanyak RM60,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan tidak boleh mengganggu mangsa.
Bagaimanapun, peguam tertuduh Michael Tan merayu jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya berdepan dengan dua pertuduhan lain selain menjadi ibu tunggal kepada tiga orang anak sejak 20 tahun lalu.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 berserta kesemua syarat tambahan yang dipohon pendakwaan. Kes akan disebut semula pada 4 Jun depan.
BERITA BERKAITAN Orang lain sibuk berpolitik, Steven Sim ‘sibuk’ bantu ibu tunggal 10 anak dihalau dari rumah sewa
Kisah 2
Di KOTA BHARU, seorang ibu tunggal dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini, atas pertuduhan membuat laporan palsu kepada polis dengan mendakwa dirogol seorang lelaki ketika menjalani kuarantin COVID-19 di sebuah pusat kuarantin di Pengkalan Chepa.
Bagaimanapun, Siti Nashurah Mat Daud, 26, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri.
Menurut laporan Berita Harian Online, mengikut kertas pertuduhan, Siti Nashurah dituduh memberi maklumat palsu kepada anggota polis dengan mendakwa dirinya dirogol seorang lelaki berusia 34 tahun, dengan niat supaya tindakan diambil terhadap individu itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin, manakala tertuduh pula diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nik Nazriani Nik Ab Rahman.
Sharifah Amirda Shasha memohon ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.
Namun, Nik Nazriani memohon supaya anak guamnya itu dikenakan ikat jamin minimum berikutan tertuduh adalah ibu tunggal dan perlu menyara tiga anak.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin, dan tarikh 23 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

