MUKTAMAD. Semua bazar Ramadan dan Aidilfitri dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan ditutup mulai Isnin ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain itu bazar Ramadan yang tersenarai dalam sistem Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) akan ditutup selama tiga hari, berkuat kuasa serta-merta.
“Kerajaan pernah memberi amaran prosedur operasi standard (SOP) akan diperketatkan di semua kawasan PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sekiranya kes COVID-19 meningkat di seluruh negara.
“Ketika ini, kerajaan meneliti SOP dan sekiranya berlaku pertambahan kes harian, kita akan mendapatkan nasihat dan penilaian risiko daripada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membolehkan SOP itu diperketatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ismail Sabri, sekiranya sistem HIDE mengesan sesuatu lokaliti itu merekodkan penularan kes, maka kerajaan akan membuat penilaian risiko bersama-sama KKM untuk menutup sementara lokaliti tersebut bagi membolehkan PKP dilaksanakan.
“Dalam pada itu, premis yang tersenarai dalam sistem HIDE kerana dikenal pasti sebagai lokasi berisiko kepada penularan kes COVID-19 akan diarahkan ditutup selama tiga hari berkuat kuasa serta merta.
“Aktiviti penguatkuasaan bagi semua premis akan dipantau oleh PDRM, ATM, KPDNHEP dan PBT. Bagi memastikan tiada kekeliruan, segala keputusan dan pengumuman pelaksanaan PKP di mana-mana kawasan ataupun negeri akan dibuat oleh Kerajaan Persekutuan selepas ia diputuskan dalam sidang mesyuarat MKN,” jelasnya.
Baca artikel berkaitan: Sekolah ditutup, bazar Ramadan dihentikan operasi di Selangor
Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan Kuantan menjadi daerah terbaru di Pahang yang dilaksanakan PKP susulan peningkatan kes COVID-19.
Turut dikenakan PKP ialah tiga daerah dan tiga mukim di Pulau Pinang.

Daerah terlibat ialah Timur Laut, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.
Beberapa mukim di Perak juga dikenakan PKP membabitkan mukim Hulu Kinta meliputi Ipoh, Lahat, Chemor dan Tanjong Rambutan, selain mukim Pengkalan Hulu dan mukim Belukar Semang di Hulu Perak.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKP di semua kawasan tersebut,” katanya
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram