TINDAKAN seorang lelaki menebang sebatang pokok betik milik pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kemudiannya mengacukan senjata itu ke arah seorang individu yang memberi makan kepada kucing mengundang padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara tiga minggu, oleh sebuah mahkamah Singapura, semalam.
Berita.mediacorp.sg melaporkan, Ang Say Chee, 60 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan ugutan jenayah dengan mengacukan pisau ke arah seorang individu yang memberi makan kepada kucing.
Selain itu, dia juga didapati bersalah terhadap tuduhan menebang separuh daripada pokok betik milik Majlis Bandaran Bishan-Toa Payoh dan menyebabkan kerugian kepada orang awam menerusi perbuatan nakal; dan membakar sehelai kain merah dalam satu tindakan terburu-buru yang mengancam keselamatan peribadi.
Mahkamah diberitahu bahawa Say Chee yang tinggal di sebuah flat di Toa Payoh Lorong 4, pada kira-kira pukul 2.30 petang pada 6 Ogos 2019 meletakkan sebilah pisau dalam beg plastik lalu berjalan ke kolong Blok 56, yang terletak berhampiran rumahnya.
Dia kemudian menebang sebatang pokok betik yang besar kerana percaya pokok itu dihuni roh-roh yang jahat.
Seorang wanita berusia 70 tahun yang berada di tempat sama dan baru sahaja mahu memberi makan kepada kucing-kucing terbiar, terdengar bunyi pokok tumbang.
Dia melihat Say Chee berjalan pergi daripada pokok itu dan menghampiri kucing yang ingin diberi makan.
Apabila Say Chee melihatnya, dia cuba merampas bekas berisi biskut kucing daripadanya, namun ia terlepas daripada genggamannya.
Say Chee berkata, “kotor kotor” dan memberitahu wanita terbabit dia ingin menghubungi polis dan wanita itu menjawab beliau akan menunggu sehingga polis tiba.
Say Chee kemudian mengeluarkan pisau daripada beg plastik dan menghayunkannya ke atas kepala wanita tersebut. Dia mengacukan senjata itu ke arah kepala mangsa dan memberitahunya bahawa dia tidak suka wanita itu memberi makan kepada kucing-kucing terbiar di kawasan kejranan itu.
Mangsa menghubungi polis untuk meminta bantuan lalu bersembunyi di belakang tembok sementara Say Chee duduk di atas bangku sebelum membuang pisau yang dibawanya. Senjata itu tidak ditemui.
Sebaik tiba di tempat kejadian, polis memberkas Say Chee.
Dalam pada itu, pihak pendakwaan memohon bagi hukuman penjara sekurang-kurangnya tiga minggu kerana Say Chee menggunakan sebilah pisau dengan niat menimbulkan rasa takut namun tiada ancaman secara terang-terangan. Dia juga tidak mengekori mangsa tetapi membuang senjata itu.
Namun, Say Chee mempunyai sejarah kesalahan dari tahun 1979 bagi beberapa jenayah seperti pecah masuk, membawa bahan memabukkan ke sebuah hospital awam, perbuatan nakal, bergaduh, merogol dan tindakan terburu-buru yang mengancam nyawa atau keselamatan.
Bagi kesalahan ugutan jenayah, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

