Semalam apabila kes baru mencecah 4,498 kes, ia seharusnya menjadi amaran kepada seluruh lapisan masyarakat tentang ancaman pandemik Covid- 19.
Tidak kira siapa pun kita tidak kira apa pun perbezaan antara kita, tidak kira apapun
ideologi politik kita, tidak kira apapun status kehidupan kita -musuh kita bersama adalah Covid-19!
Cukup-cukuplah berbalah, mengkritik,menghentam dan mencaci kerajaan dalam menangani pandemik itu, hentilah sekejab perbuatan itu tidak kira sejauh manapun dendam politik atau kebencian kita kepada kerajaan.
Memerangi Covid-19 adalah misi kita bersama.Pandemik itu tidak mengira bangsa, virus itu tidak mengenal pangkat mahupun darjat seseorang, kita semua boleh menjadi mangsa, kita semua boleh terlantar ‘diserang’ wabak itu.
Hentilah sejenak daripada mencetuskan perbalahan dan hanya pandai mengkritik apa yang sedang kerajaan lakukan. Marilah bersama berganding bahu, kita tumpaskan dulu pandemik itu, marilah bersatu untuk hapuskan virus tersebut.
Masihkah ada antara kita belum sedar betapa bahayanya virus ini? Masihkah ada antara kita terus bersikap jahil dengan memperkecilkan apa juga yang sedang dilakukan kerajaan?
Tolonglah…musuh yang kita sedang hadapi ini bukan soal politik, sekarang bukan masanya untuk mana-mana pihak menunjukkan mereka lebih pandai daripada kerajaan dalam menangani Covid-19.
Sekarang adalah masa untuk kita bergabung tenaga dengan mengamalkan sikap mudah tetapi dipandang remeh oleh sebahagian besar kita iaitu mematuhi SOP.
Akibat kegagalan mematuhi SOP inilah yang memungkinkan pandemik tersebut ‘terus berpesta’ yang sehingga kini telah mencecah angka yang seharusnya menggerunkan kita semua.
Penulis faham ada pihak yang cuba meraih keuntungan politik dengan menuding jari kepada kerajaan yang digambarkan gagal menangani pandemik itu. Tetapi adakah wajar perbuatan atau sikap seumpama itu? Apakah mempertaruhkan nyawa rakyat dianggap berbaloi kerana kebencian politik?
Apa lagi yang mahu kerajaan lakukan, sudah hampir habis akal langkah-langkah dilakukan bagi menghalang penularan wabak ini. Namun kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sekelumitpun tidak menunjukkan tanda-tanda sudah berputus asa.
Namun bariskanlah berapa banyak pun peraturan, perketatkan apa juga langkah, buatlah apapun undang-undang, semuanya akan gagal jika kita semua tidak mematuhi SOP.
Kita boleh berkata apa sahaja kepada kerajaan, kita boleh mengkritik apa juga tindakan kerajaan dan kita boleh mempermainkan apa juga keputusan kerajaan.Tetapi adakah itu ‘vaksin’ yang akan mampu menghalang pandemik tersebut?
Kita tidak mungkin akan mampu melawan apatah lagi menamatkan serangan wabak tersebut selagi kita tidak ikhlas bersama kerajaan memerangi virus berkenaan. Tidak mengapalah kalau diri bersama hebat dan merasakan boleh melakukan lebih baik kalau kita menjadi Perdana Menteri atau masih menjadi Perdana Menteri.
Tidak mengapalah kalau kita mahu berkongsi sentimen dengan memperlekehkan paksanaan PKP yang dilaksanakan oleh kerajaan. Namun soalnya adakah ia akan mampu menyelamatkan nyawa rakyat? Tolonglah hentikan sikap yang menyukarkan lagi usaha kerajaan memulihkan negara ini daripada serangan Covid-19.
Kalau ada dendam politik tunggu sahaja pilihan raya, kalau ada rasa benci kepada kerajaan luahkan sahaja ketika pilihan raya nanti tetapi sekarang bukan masanya untuk kita melempiaskan dendam politik atau menghamburkan kebencian itu.
Sekarang musuh kita bersama adalah Covid-19. Inilah musuh yang harus dibenci dan didendami kerana memporak perandakan kehidupan manusia seluruh dunia. Kalau mahu sangat berpolitik, kalau mahu sangat menghasut rakyat kononnya ini kerajaan yang gagal, tunggu sahaja pilihan raya
Hentikan kerja-kerja sia-sia dengan menjadikan cara kerajaan menangani pandemik itu sebagai modal politik atau peluru untuk menyerang kerajaan. Kita perlu bersatu kita perlu bersama dalam peperangan ini. Nyawa 30 juta rakyat Malaysia akan berada dalam keadaan cukup bahaya jika kita tidak mampu menghapuskan Covid-19.
Tergamakkah kita melihat apa yang berlaku di India terjadi di negara ini? Mahukah kita melihat seorang demi seorang rakyat negara ini tumbang di pinggir jalan akibat dijangkiti wabak tersebut?
Tolonglah! Janganlah bersikap jahil dengan mempersoal angka-angka kes yang meningkat saban hari. Nyawa kita dalam bahaya kerana Covid-19 berada di mana-mana dan boleh menjangkiti sesiapa sahaja jika SOP diabaikan.
Kepada ahli-ahli politik terutamanya pemimpin yang berasa hebat dan tidak sehaluan dengan kerajaan,tolong hentikan politiking berlebihan dengan mewujudkan persepsi apa sahaja yang kerajaan lakukan tidak betul.
Ancaman yang ada di hadapan kita bukan virus biasa tetapi luar biasa, semua negara menjadi huru hara akibat serangan pandemik tersebut.
Oleh itu marilah bersama-sama memerangi Covid-19 demi menyelamatkan nyawa kita dan seluruh rakyat Malaysia. Tidak kira siapapun kita, kita semua adalah rakyat Malaysia yang tidak mahu negara porak peranda kerana Covid-19.
Benar ada keputusan kerajaan yang mungkin tidak memuaskan hati kita, mungkin ada langkah kerajaan kita kata tidak rasional. Tetapi apa juga keputusan kerajaan, aaa juga langkah kerajaan ia bukan dilakukan secara sembrono.
Selama 15 bulan tanpa henti kerajaan mengerah segala kudrat, menggerakkan segala sumber dan menggunakan segala kepakaran bagi menghapuskan pandemik tersebut.
Tetapi apakah adil, kalau kita hanya bijak mengkritik, memperlekeh dan memaki hamun kerajaan ketika wabak tersebut sedang menggila.
Sedarlah peningkatan kes saban hari ini bukanlah rekaan, jumlah kematian yang bertambah bukanlah angka palsu tetapi itulah bahana Covid-19. Kita mesti bergabung tenaga bersama kerajaan memerangi pandemik yang cukup luar biasa ini sehingga negara besar dan hebat pun masih bergelut menghapuskannya.Adakah mereka juga boleh dianggap kerajaan yang gagal?
Kerajaan kita bukan kerajaan yang gagal, sebaliknya dalam menghapuskan pandemik ini yang gagal ialah pemimpin atau ahli politik yang hanya tahu mencari salah kerajaan, yang gagal ialah sebahagian rakyat yang memandang remeh pematuhan SOP walaupun mereka tahu ancaman yang menanti.
Cukup-cukuplah salah kerajaan, kita perangi dulu Covid-19 kerana nyawa kita semua terancam. Hari ini kita mengkritik, mungkin esok kita terlantar di hospital, hari ini mungkin seronok memaki hamun kerajaan dalam media sosial mungkin esok kita salah seorang yang berada di ICU!
Kerana apa? Kerana kita masih belum faham atau buat-buat tak faham siapa musuh sebenar yang sedang mengancam nyawa 30 juta rakyat Malaysia!
Sebelum keadaan menjadi bertambah buruk, kita perlu bersatu hati dan tindakan untuk bersama kerajaan memerangi Covid-19 – kerana inilah musuh utama kita sekarang.
Hanya kelompok yang jahil sahaja tidak memahami itulah musuh kita. Jangan sampai kita berada dalam kelompok itu.

