WALAUPUN kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara bermula esok tetapi moratorium menyeluruh secara automatik tidak akan dilaksanakan semula.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, bagi membantu peminjam, bank akan terus menawarkan bantuan bayaran balik kepada pelanggan yang memerlukan susulan pelaksanaan sekatan pergerakan terkini itu.
“Dengan bank sudah tersedia dengan bantuan pembayaran balik termasuk moratorium bersasar yang ditawarkan kepada pelanggan yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan terjejas.
“Peminjam boleh menghubungi pelbagai saluran lain yang telah diwujudkan termasuk Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan BNM Telelink untuk menawarkan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku pertama 2021 secara maya, hari ini.
Hadir sama, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Sebagi rekod, ketika pelaksanaan PKP1.0 dan PKP2.0 sebelum ini institusi perbankan melanjutkan moratorium dan bantuan pembayaran balik bersasar kepada mereka yang layak dan terkesan oleh pelaksanaan perintah tersebut.
Media melaporkan dalam skim Bantuan Pembayaran Balik Bersasar yang diumumkan sebelum ini, mereka yang kehilangan pekerjaan pada 2020 atau 2021, boleh memohon bantuan pembayaran untuk tempoh tiga bulan pada bila-bila masa pada atau sebelum 30 Jun 2021.

