Pemanah negara meninggal dunia pada usia 27 tahun, rebah selepas subuh

0
4665

HAZIQ Kamaruddin baru berusia 27 tahun, namun pemanah negara itu telah menyertai Olimpik pada dua temasya yang lalu di London, 2012 dan Rio de Jeneiro, 2016.

Namun ketika kariernya masih lagi panjang untuk mengharumkan nama Malaysia, Allah lebih menyangi Haziq apabila pemanah berasal dari Johor itu meninggal dunia awal pagi tadi.

Pemanah negara kategori recurve berusia 27 tahun itu dilaporkan rebah di rumahnya di Kajang selepas menunaikan solat subuh pagi tadi.

Berdasarkan beberapa laporan media hari ini, Allahyarham tiba-tiba rebah sejurus keluar dari bilik air selepas solat subuh dan terus tidak sedarkan diri.

Haziq kemudian digegaskan ke Hospital Kajang namun disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital itu, seperti dilapor Bernama.

Bekas pemenang empat pingat emas Sukan SEA sebelum ini sedang mengejar slot kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo yang dijadualkan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Allahyarham sudah sedekad mewakili negara di pelbagai peringkat, termasuk di Sukan SEA sejak edisi 2011 hingga 2019.

Dalam pada itu, Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia turut mengesahkan pemergian Allahyarham.

“Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, semoga arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. AlFatihah,” kata persatuan itu menerusi satu hantaran di media sosial.

Baca artikel berkaitan: 2021 sangat indah andai penantian emas Olimpik berakhir

Sementara itu, rakan sepasukannya Zulfadhli Ruslan merupakan antara yang terawal memaklumkan tentang pemergian Haziq menerusi laman Facebooknya.

“Assalamualaikum dan salam sejahtera, dukacita dimaklumkan sahabat saya, Haziq Kamaruddin telah pergi mengadap llahi pagi tadi.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang beriman. Minta semua rakan-rakan saya mendoakan. al-Fatihah,” menurut beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram